KUALA LUMPUR – Federasi Pemuda Kebangsaan menempelak Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar supaya tidak merujuk Rukun Negara mengikut kehendak sendiri tanpa memahami konteksnya secara menyeluruh.
Pemimpin kumpulan itu, Hamdin Nordin berkata, Perlembagaan Persekutuan merupakan dokumen tertinggi negara bukan arahan lisan daripada mana-mana individu berkuasa.
Tegas beliau, sekiranya Shamsul Azri sendiri gagal memahami prinsip asas negara maka adalah lebih baik beliau melepaskan jawatan dan berhenti memalukan institusi perkhidmatan awam.
“Mungkin semasa pejawat awam lain sedang membaca Rukun Negara setiap minggu. KSN menutupkan telinganya sehingga tidak tahu tentang keluhuran perlembagaan dan dalam perlembagaan perkara 10 dijamin hak untuk berhimpun, bersuara dan beroganisasi.
“Atau mungkin KSN setiap kali membaca Rukun Negara, dia hilangkan rukun ketiga tentang Keluhuran Perlembagaan,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Semalam, media melaporkan, Shamsul Azri mengingatkan penjawat awam supaya tidak menyertai sebarang perhimpunan termasuk Himpunan Turun Anwar yang dijadual berlangsung Sabtu ini.
Ia kerana, kata Shamsul Azri, penjawat awam tertakluk kepada ikrar yang dilafazkan pada setiap minggu iaitu sentiasa setia kepada raja dan negara.
Pas sebelum ini menyasarkan penyertaan lebih 50,000 orang dalam Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar yang dijadual berlangsung Sabtu ini di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Hamdin menyeru orang ramai untuk menggunakan hak untuk bersuara dan berhimpun untuk menyatakan sikap mereka.
“Hak untuk berhimpun bukan hak yang diberikan oleh negara, ia hak yang ada kerana kita manusia. Negara hanya perlu menjamin, bukan mengawal,” katanya. – MalaysiaGazette
















