Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

GEORGE TOWN – Seorang pendaki lelaki warga emas ditemui meninggal dunia di laluan pendakian Moongate, Jalan Kebun Bunga di sini hari ini.

Mangsa, Lim Kee Wan, 60, dari Tanjong Bungah dilaporkan pengsan ketika berada di Stesen 4 sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 9.56 pagi dan tujuh anggota dikerahkan ke lokasi.

“Pasukan mendaki lebih dua kilometer selama kira-kira 45 minit untuk sampai ke lokasi mangsa. Terdapat pendaki yang cuba memberikan bantuan CPR sebelum bomba tiba namun mangsa tidak memberi respon.

“Susulan itu, kita membawa turun mangsa dilakukan menggunakan pengusung dan turut dibantu lima pendaki lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah John Sagun, keadaan trek yang sempit dan curam menyukarkan pergerakan sekali gus menyebabkan proses membawa turun mangsa mengambil masa hampir sejam.

“Operasi tamat sepenuhnya pukul 1 tengah hari tadi dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast