KUALA LUMPUR – Kecekapan rondaan polis di kawasan tumpuan dijangka semakin efisien dengan pelancaran rasmi Pangkalan Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.
Pangkalan yang turut menempatkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan berperanan sebagai pusat operasi utama pasukan barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani kecemasan dan jenayah di ibu kota.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, langkah menubuhkan pangkalan tersebut bertepatan dengan keperluan mendesak untuk meningkatkan kesiapsiagaan pasukan polis dalam memberikan respon pantas terhadap insiden di lapangan.
“MPV adalah antara barisan hadapan paling penting dalam menjamin keselamatan ibu kota. Banyak kes jenayah, dadah malah imigresen juga dikesan hasil rondaan mereka.
“Pangkalan ini akan membantu mereka bertindak lebih cepat, lebih tersusun dan lebih bersedia setiap masa,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Pangkalan MPV di IPD Sentul di sini hari ini.
Menurut Rusdi, idea penubuhan pangkalan tersebut dibentangkan oleh Ketua Polis Daerah dan Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul kepada beliau pada penghujung tahun lalu dan diluluskan segera atas keperluan mendesak, walaupun tanpa peruntukan rasmi daripada kerajaan ketika itu.
“Proses mendapatkan dana kerajaan memang makan masa. Tetapi kita bersyukur kerana beberapa pihak tampil membantu,” katanya lagi.
Antara penyumbang utama ialah Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang menyalurkan dana sebanyak RM250,000 manakala Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh turut menyumbang sebanyak RM15,000 bersama beberapa pihak lain.
Fasiliti baharu itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan penting termasuk ruang letak kenderaan tersusun, bilik taklimat, kawasan rehat anggota dan susun atur yang sistematik sekali gus menepati keperluan operasi harian pasukan MPV dan URB.
Rusdi turut memberitahu, ketika beliau menjadi Ketua Polis Kuala Lumpur, laporan rondaan serta statistik tangkapan MPV dan URB menjadi antara laporan harian utama yang dipantau secara langsung bagi menilai kecekapan pasukan.
“Pangkalan ini bukan sekadar bangunan tetapi menjadi nadi penggerak utama kepada usaha pencegahan jenayah secara proaktif,” katanya.
Dalam pada itu, Lip Eng mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan penambahan kamera badan (bodycam) dan kamera papan pemuka (dashcam) bagi memperkukuh lagi rondaan anggota di lapangan serta meningkatkan ketelusan pasukan polis.
“Saya harap Kementerian Dalam Negeri dapat memberi keutamaan kepada peralatan ini, khususnya untuk PDRM Kuala Lumpur yang beroperasi di kawasan paling padat di negara ini,” katanya.
Dengan pelancaran pangkalan itu, IPD Sentul kini lebih bersedia dari segi logistik dan taktikal dalam memastikan keselamatan awam terus terpelihara. – MalaysiaGazette















