KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini menafikan disclaimer yang disarankan oleh Panel Sesi Penjelasan bermaksud keseluruhan modul atau aktiviti program eHati dibenarkan.
Perkara ini merujuk kepada kenyataan media oleh Pengarah Syarikat eHati International Sdn. Bhd. pada 15 Julai 2025 yang mendakwa JAIS telah memberikan kebenaran untuk meneruskan program eHATI.
Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad yang menjelaskan perkara tersebut berkata, pada 15 November 2022, Panel Sesi Penjelasan yang dilantik oleh JAIS telah mendapatkan penjelasan daripada penganjur program eHati selepas menerima aduan daripada peserta program itu.
Pengadu pada masa itu mendakwa terdapat aktiviti yang bersalahan dengan hukum syarak berlaku dalam program tersebut.
Dalam sesi penjelasan yang diadakan, panel telah diserahkan video yang digunakan oleh penganjur, mengandungi kaedah self-pleasure bagi wanita untuk tujuan merapatkan hubungan antara suami isteri.
Pada peringkat ini, katanya, Panel Sesi Penjelasan telah memberi pandangan beberapa aspek dan pendekatan program eHati perlu dipinda atau dibuang mengikut mana-mana yang bercanggah dengan hukum syarak.
Oleh itu, pihak syarikat hendaklah sentiasa merujuk pihak berautoriti agama atau pakar dalam memastikan pematuhan hukum syarak dalam keseluruhan program eHati.
Mohd Shahzihan berkata, JAIS juga telah meminta penganjur meletakkan disclaimer yang menyatakan video tersebut (merujuk kepada video yang telah diarahkan untuk dipinda oleh Panel Sesi Penjelasan) adalah untuk kegunaan suami isteri sahaja.
“Nasihat ini diberikan kepada penganjur sebagai langkah untuk mengekang apa-apa tindakan yang melanggar hukum syarak dalam rakaman video yang digunakan.
“Hal ini kerana syarikat tersebut tidak pernah merujuk keseluruhan modul program berkaitan kepada pihak JAIS selepas teguran dan syor dibuat oleh Panel Sesi Penjelasan sehingga ke hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau yakin sekiranya syarikat tersebut mematuhi ketetapan yang dibuat oleh Panel Sesi Penjelasan pada tahun 2022, sudah pasti insiden yang didakwa berlaku dalam program eHati di IDCC Shah Alam tidak akan terjadi.
Selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), JAIS juga telah diminta untuk menyemak dan menambah baik Garis Panduan Penganjuran Program Keagamaan dan Kerohanian Islam dengan mengambil kira pelbagai insiden termasuk program eHati.
Tambahnya, penambahbaikan garis panduan ini dibuat agar suatu garis panduan yang lebih komprehensif dapat dijadikan rujukan oleh penganjur yang berhasrat untuk mengadakan program yang mengandungi unsur kerohanian dan keagamaan di negeri Selangor.
JAIS menyeru agar masyarakat Islam di Selangor terus memainkan peranan aktif dengan menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang program atau pengisian keagamaan yang meragukan kepada pihak JAIS.
“Maklumat yang tepat daripada masyarakat adalah penting untuk membantu JAIS memelihara prinsip dan pelaksanaan ajaran Islam yang sebenar mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah di Selangor,” ujar beliau. – MalaysiaGazette
















