Foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menerima mengadap dan mengadakan pertemuan bersama rombongan beberapa penggiat industri kesenian dan kebudayaan negara hari ini.

Menerusi kenyataan di laman sosial Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, pertemuan berkenaan bertujuan membincangkan cadangan mewujudkan satu program untuk mendedahkan pelajar-pelajar sekolah menengah golongan B40 kepada industri seni dengan bertemu penggiat serta artis ternama melalui sebuah produksi pementasan.

“Ia bukan sekadar pembelajaran kesenian di sekolah bersama guru, tetapi pendedahan kepada gerak kerja sebenar industri bersama figura pelakon, pengarah, pemuzik dan lain-lain yang berkaitan di belakang tabir sebuah produksi.

“Saya sedar akan cabaran yang dihadapi dalam keadaan kehidupan golongan B40. Tidak semua daripada anak-anak ini cenderung kepada bakat akademik semata-mata. Ada baiknya kita mendedahkan kepada mereka laluan ke arah masa depan serta karier dalam bidang kesenian yang berpotensi besar.

“Saya berhasrat untuk mewujudkan ruang sebegini sebagai usaha menggalakkan pelajar-pelajar menambah kemahiran kesenian bermanfaat bersama selebriti berjaya yang boleh menjadi mentor kepada mereka, sekali gus mengurangkan risiko mereka terjerumus ke dalam gejala sosial yang merudumkan masa depan.

“Usaha sebegini juga membantu menangani masalah kesihatan mental seperti kemurungan dan kesunyian di samping memupuk nilai perpaduan dalam membantu golongan yang memerlukan,” titah Raja Permaisuri Agong.

Foto: FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Antara yang hadir pada pertemuan itu ialah Tengku Sri Kelana D’raja, Datuk Seri Raja Rezza Shah Raja Aman Shah; pengarah terkemuka, Datuk Zahim Albakri; Ahli Lembaga Pengarah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA); Datuk Syafinaz Selamat; Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dan Presiden Seniman, Zed Zaidi.

Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd Azam Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib; , Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini; Penyelidik Pakar dari Kementerian Luar Negeri, Dr. Murni Wan Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor, Hishammuddin Abd Rahim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast