SHAH ALAM – Kerajaan sedia mempertimbangkan untuk mewujudkan peruntukan undang-undang bagi melindungi hak cipta pengkarya-pengkarya tempatan termasuk kartunis, penggiat seni dan filem daripada menjadi mangsa Kecerdasan Buatan (AI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengakui teknologi AI boleh mengancam kelangsungan penggiat seni dan hak cipta karya yang dibangkitkan kartunis Zunar.
“Masalah hak cipta, soal jaminan bukan sahaja kartunis bahkan golongan seni, filem, puisi kerana kadang-kala dimatikan yang disebut kekuatan daya cipta dan keupayaan seorang seniman melakar harus ada juga peruntukan perundangan.
“Kementerian Digital dan Kementerian Komunikasi mengambil kira untuk meletakkan supaya negara kita ini tidak hanya mengikut acuan yang ditentukan dunia luar.
“Kemudian boleh terperangkap hingga menghilangkan jati diri, nilai yang harus dipupuk di sini,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Buku Melukis Dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun Karya Zunar di Pustaka Tun Raja Uda, di sini, hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Hadir sama, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Terdahulu kartunis Zunar melahirkan kebimbangan dengan teknologi AI yang boleh mengancam kerjaya dan hak cipta pengkarya tempatan.
Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque berkata, beliau berharap kerajaan dapat melakukan sesuatu untuk melindungi industri seni itu yang kini kian diancam kepupusan dek kerana keupayaan AI mengambil alih tugas mereka.
Perdana Menteri juga mengingatkan semua pihak yang mengguna dan mempelajari AI agar menerapkan dengan elemen budaya, agama dan nilai masyarakat di negara ini agar tidak terperangkap dengan acuan negara barat.
“Kita nak pastikan kekuatan AI juga menekankan soal nilai dan beberapa pertimbangan yang harus sesuai dengan akidah keyakinan agama, nilai, budaya dan kepelbagaian kita.
“Maka harus dilatih anak-anak dalam bidang AI termasuk yang akan menjadi kartunis ini menguasai ilmu itu dan memasukkan juga elemen budaya, agama, nilai supaya yang dilontar dan dimuntahkan oleh mesin itu juga mengambil kira beberapa pandangan kita,” katanya.
Kata Perdana Menteri, walaupun wujud kebimbangan kepada ancaman AI, namun kerajaan tidak pernah meminggirkan soal nilai sebelum teknologi itu menjadi dasar negara.
“Ada yang dilahirkan kebimbangan tentang AI, saya setuju kerana dalam dasar negara kita Madani tentang AI itu tidak kita persampingkan dan pisahkan soal nilai,” katanya. – MalaysiaGazette
















