KUALA LUMPUR – Minat daripada syarikat permodalan sederhana dan besar untuk disenaraikan di Bursa Malaysia kekal kukuh, dengan momentum tawaran awam permulaan (IPO) yang berterusan mencerminkan keyakinan pelabur walaupun berdepan ketidaktentuan berikutan langkah tarif oleh Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata, bursa tersebut telah mencatatkan sebanyak 37 IPO setakat ini pada tahun ini dan dijangka mencapai sasaran akhir tahun sebanyak 60 penyenaraian.
“Kami terus menjadi platform pengumpulan dana yang kukuh, dengan pelabur menunjukkan minat dan penyertaan berterusan dalam IPO kami.
“Bagaimanapun, sudah tentu, harga dan saiz terbitan perlu dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Kerjasama antara Bursa Carbon Exchange (BCX) dan UEM Lestra Bhd.
Setakat ini, Pasaran Utama mencatatkan enam penyenaraian, Pasaran ACE (28) dan Pasaran LEAP (tiga).
Sementara itu, pengendali pelabuhan MMC Port Holdings telah mengemukakan permohonan untuk disenaraikan dan dijangka melaksanakan IPO terbesar di Malaysia dalam tempoh 13 tahun.
Laporan media menyatakan langkah itu dijangka meraih lebih RM6 bilion.
Bursa Malaysia menyaksikan 55 penyenaraian syarikat pada tahun lepas, meningkat sebanyak 72 peratus berbanding tahun sebelumnya — tertinggi dalam tempoh 19 tahun.
Menurut bursa, sebanyak 55 IPO dicatatkan pada 2024 dan meraih RM7.42 bilion secara keseluruhan, meningkat 107 peratus berbanding tahun sebelumnya. – BERNAMA















