Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Empat lokasi mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat manakala 63 lagi merekodkan bacaan sederhana dan satu kawasan berada pada tahap baik.

Setakat pukul 10 pagi, empat kawasan dengan IPU tidak sihat itu adalah Seremban dan Nilai di Negeri Sembilan; Johan Setia, Selangor serta Balok di Kuantan, Pahang.

Menurut maklumat laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Seremban merekodkan bacaan tertinggi iaitu 155, diikuti Nilai (154), Johan Setia (151) dan Balok (152).

APIMS turut mencatatkan IPU baik di Langkawi, Kedah dengan bacaan 42, selain tiada lokasi dikategorikan dalam tahap sangat tidak sihat dan berbahaya.

Terdahulu media melaporkan jerebu rentas sempadan didapati sedang melanda beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilaporkan berkata, laporan dikeluarkan oleh Asean Specialized Meteorological Centre (ASMC) mendapati terdapat 79 titik panas di kawasan Sumatera.

Menurutnya, ia berkemungkinan menjadi punca kepada keadaan berjerebu (di Malaysia) yang dibawa oleh tiupan angin barat daya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast