KUALA LUMPUR – Green Packet Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Shahul Hameed Dawood sebagai Pengarah Urusan dan ketua pegawai eksekutif kumpulannya yang baharu berkuat kuasa serta-merta.
Pelantikan itu dilihat langkah strategik memacu penjenamaan semula syarikat dan memperkukuh kedudukan dalam landskap digital serantau.
Shahul Hameed membawa bersama pengalaman lebih tiga dekad merentasi pelbagai sektor termasuk peranan terakhirnya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Human Resource Development Corporation (HRD Corp).
Sepanjang tempoh tersebut, beliau berjaya menerajui salah satu agenda pembangunan bakat paling berpengaruh di Malaysia dengan kerjasama sektor industri, akademik dan antarabangsa.
Reputasi beliau peringkat global turut menyerlah melalui keupayaan membina kerjasama strategik merentasi sempadan.
Kepimpinan kolaboratif dan jaringan luas merentasi pelbagai lapisan termasuk pembuat dasar, pemimpin industri dan komuniti akar umbi dilihat seiring dengan aspirasi Green Packet untuk memperluas impaknya di pentas antarabangsa.
Menurut syarikat itu, pelantikan bukan hanya simbol perubahan kepimpinan tetapi juga mencerminkan komitmen Green Packet terhadap pertumbuhan berpandukan tujuan dan kemajuan inklusif.
Green Packet kini berada di landasan baharu untuk memperkukuh pengaruhnya di ASEAN dengan menumpukan kepada inovasi digital yang mampan dan keterangkuman teknologi untuk manfaat masyarakat yang lebih meluas.
Dengan pengalaman luas dan rekod cemerlang Shahul Hameed, Green Packet yakin dapat meneroka peluang baharu serta mempercepatkan pencapaian matlamat transformasi digitalnya.
Pelantikan itu juga dijangka mengukuhkan lagi kepercayaan pelabur dan rakan kongsi terhadap hala tuju strategik Green Packet dalam tempoh jangka sederhana dan panjang. – MalaysiaGazette
















