KUALA LUMPUR – Kedudukan mengenai Laut Sulawesi masih belum dimukamadkan dan dalam masa yang sama Malaysia masih meneruskan perundingan kerajaan Indonesia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rundingan akan diteruskan pada 29 Julai ini di Jakarta.
Perbincangan juga bakal disertai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Yang penting adalah tentang kedudukan Laut Sulawesi belum dimuktamadkan, keputusan kita muktamad (untuk ikut) berdasarkan Perjanjian Triti Laut Sulawesi (tapi) Indonesia tidak bersetuju.
“Sekarang Malaysia pilih untuk berunding,” katanya ketika Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri, di Dewan Rakyat hari ini.
Jelas Anwar, Perjanjian Triti Laut Sulawesi pada 2023 tidak dihebahkan kerana tiada persetujuan dicapai oleh kedua-dua negara.
Namun kini beliau memutuskan untuk membawa kerajaan negeri Sabah dalam rundingan tersebut kerana kawasan tersebut melibatkan negeri di bayu itu.
“Rundingan yang belum muktamad tidak boleh didedahkan, ini ada dalam perjanjian. Kita boleh bincang (tapi) tertutup,” katanya lagi.
Terdahulu, Datuk Seri Ronald Kiandee (Bersatu-Beluran) meminta Perdana Menteri menyatakan bagaimana keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 2002 mengenai kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan dapat mempengaruhi penentuan sempadan maritim antara Malaysia dan
Indonesia di kawasan Laut Sulawesi termasuk kedaulatan blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z).
Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan pihak pembangkang berat sebelah dalam isu tersebut namun tidak mengenai soal Pulau Batu Putih.
“Kalau Beluran rasa terkesan kerana isu laut Sulawesi begitu juga Malaysia keseluruhannya dan orang Johor yang terkesa dengan penyerahan mudah soal Pulau Batu Putih? mengapa double standard dalam hal ini?
“Kita ambil keputusan kerana ia melibatkan mantan Perdana Menteri yang umurnya 100 tahun apakah dia tidak salah? Dia salah.
“Apakah perlu ambil, saya di Jemaah Menteri saya bersetuju jangan ambil tindakan. Kalau kita ambil tindakan Kota Bharu (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) akan jerit, kata kita tidak adil tapi kerana umur sudah 100 tahun salah besar dalam hal ini tetapi kita tidak payahlah teruskan,” tegasnya.
Sebagai rekod, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tidak menetapkan sempadan perairan di Laut Sulawesi secara keseluruhan.
Ini bermakna isu sempadan perairan termasuk Ambalat masih terbuka untuk perundingan antara Malaysia dan Indonesia.-MalaysiaGazette
















