KUALA LUMPUR – Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) mendesak supaya Gaza Humanitarian Foundation (GHF) dibubarkan.
Presiden MAHAR Jismi Johari berkata, krisis kemanusiaan semakin parah kerana GHF yang disokong kuasa asing telah mengakibatkan kebuluran yang disengajakan dan kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak.
GHF turut menyebabkan kematian ratusan orang awam di lokasi yang digelar pusat bantuan.
“Penderitaan rakyat Palestin tidak boleh dibiarkan berterusan atas nama kemanusiaan yang dikawal. GHF telah merampas maruah mereka dan menjadikan bantuan sebagai senjata ketakutan.
“MAHAR berpendirian teguh menyokong pemulihan penuh akses kepada bantuan yang diselaraskan oleh PBB dan pembukaan semula semua pintu sempadan untuk bantuan kemanusiaan yang selamat dan tanpa sekatan,” kata Jismi dalam kenyataan.
Badan bukan kerajaan itu mendesak supaya operasi bantuan kemanusiaan yang diketuai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dipulihkan segera.
Pintu sempadan juga perlu dibuka bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat dan tanpa halangan.
Sementara itu Penasihat MAHAR Nurul Izzah Anwar bekata, bantuan kemanusiaan yang tulen tidak seharusnya datang bersama ketakutan, syarat atau ketenteraan.
“Apa yang sedang berlaku di Gaza adalah peleraian nilai kemanusiaan yang amat kejam. Masyarakat antarabangsa mesti bertindak sekarang, berdiam diri adalah satu bentuk kerjasama,” kata Nurul Izzah.
MAHAR berkata, pihaknya tidak menyokong sebarang cadangan penghantaran bantuan melalui udara secara besar-besaran ke Gaza.
Ini kerana ruang udara Gaza berada di bawah kawalan penuh rejim Israel yang menyukarkan laluan penerbangan selamat dan menjejaskan keberkesanan menyalurkan bantuan melalui udara.
Katanya, beberapa penghantaran melalui udara sebelum ini telah menyebabkan kematian orang awam termasuk yang terhimpit ketika cuba mendapatkan bantuan.
Dalam beberapa insiden, bantuan yang dijatuhkan mendarat di kawasan dikawal tentera, menyebabkan orang awam yang terdesak menjadi sasaran tembakan penembak tepat, keadaan yang sama seperti yang dilaporkan di pusat GHF.
MAHAR menyeru masyarakat antarabangsa untuk menegakkan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, menolak sikap berdiam diri atau bersubahat terhadap penggunaan kebuluran sebagai senjata perang, serta menuntut akses bantuan tanpa sekatan melalui laluan darat dan saluran rasmi PBB.
Menurut laporan PBB, satu daripada tiga penduduk Gaza tidak makan selama beberapa hari, dan kadar kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak telah meningkat tiga kali ganda sejak Mac 2025.
Model bantuan GHF yang melibatkan pagar berduri, zon penembak tepat dan laluan terhad telah menyebabkan lebih 875 kematian orang awam di kawasan pengagihan bantuan sahaja.-MalaysiaGazette















