Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) mengambil pendekatan baharu apabila melancarkan kempen bertemakan pilihan raya sebagai strategi pemasaran unik yang disasarkan kepada pelanggan Mydin.

Dinamakan Kempen Pilihan Raya Mydin 2025, pendekatan ini bukan sekadar gimik promosi, sebaliknya menawarkan ganjaran dan pulangan tunai berjumlah RM2.3 juta kepada pengguna yang menyertai sepanjang tempoh yang ditetapkan.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata idea tersebut dicetuskan selepas melihat suasana politik negara yang tidak pernah sunyi daripada kempen. 

“Ia kemudian diterjemahkan dalam bentuk promosi yang menggambarkan pelanggan sebagai pengundi dan jenama produk sebagai calon yang bertanding,”

“Setiap jenama kena bentang manifesto untuk tarik pelanggan. Yang beli barang itu ibarat orang mengundi. Siapa tawaran paling baik, dia yang menang,” katanya ketika berucap dalam majlis kempen itu hari ini.

Menurutnya, kempen promosi ini berbeza dengan yang lazimnya diadakan ketika musim perayaan kerana memilih untuk melancarkan program ini ketika waktu biasa sebagai usaha meringankan beban perbelanjaan pengguna.

Antara ganjaran yang ditawarkan menerusi Kempen Pilihan Raya Mydin 2025 termasuk Ganjaran Rakyat, di mana pelanggan yang menggunakan aplikasi Mydin Rewards dari 1 hingga 16 September berpeluang menerima baucar dan pulangan tunai berjumlah RM400,000.

Bagi Cashback Rakyat, pengguna e-dompet seperti Atome, Boost, M-Cash dan SPayLater pula akan menerima pulangan tunai sehingga RM300,000 apabila berbelanja di semua cawangan Mydin.

Kempen turut menawarkan Rezeki Rakyat yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 September, dengan diskaun eksklusif bernilai RM1.68 juta hasil promosi bersama jenama-jenama ‘bertanding’. 

Pelanggan juga berpeluang menyertai permainan Cash Out menerusi aplikasi Mydin Pay.

Selain itu, tawaran Purchase With Purchase (PWP) membolehkan pelanggan yang berbelanja minimum RM100 untuk membeli barangan terpilih pada harga lebih rendah.

Walaupun kempen ini kelihatan bersifat ringan dan satira politik, Ameer menegaskan ia bukan sekadar strategi pemasaran semata-mata, sebaliknya sebahagian daripada usaha untuk memberi nilai tambah kepada pengguna dalam keadaan kos sara hidup yang semakin tinggi.

“Bukan musim raya, bukan musim cuti sekolah. Tapi orang masih perlu berbelanja. Jadi kami buat ini untuk bantu apa yang termampu,” katanya.

Kempen ini akan berlangsung di semua cawangan Mydin seluruh negara, melibatkan penyertaan pelbagai jenama barangan pengguna harian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast