Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan sepenuhnya Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 sebanyak RM1,700 sebulan akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025 kepada semua majikan di seluruh negara, tanpa mengira bilangan pekerja yang digajikan.

Kadar baharu itu telah diumumkan dalam Belanjawan 2025 dan mula dilaksanakan pada 1 Februari 2025 bagi majikan yang mempunyai lima orang pekerja dan ke atas serta bagi majikan yang menjalankan aktiviti profesional seperti diklasifikasikan di bawah Malaysia Standard Classification of Occupations (MASCO) 2020.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berkata, bagi majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja, satu tempoh penangguhan pelaksanaan selama enam bulan telah diberikan dan akan tamat pada 31 Julai 2025.

Ini bermakna, bermula 1 Ogos 2025, semua majikan tanpa pengecualian, termasuk mereka yang sebelum ini menikmati tempoh penangguhan, perlu mematuhi perintah gaji minimum sebanyak RM1,700 sebulan.

“Ia termasuk untuk pekerja bukan warganegara dan pekerja kontrak perantisan, namun tidak terpakai kepada pekhidmat domestik. Semua majikan diwajibkan mematuhi kadarminimum ini bagi memastikan hak pekerja dilindungi selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, semua majikan perlu menyemak semula struktur gaji syarikat bagi memastikan tiada pekerja menerima gaji pokok di bawah kadar minimum yang ditetapkan.

Selain itu, majikan juga perlu membuat penyesuaian operasi secara progresif dengan memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti dan pelaburan dalam latihan kemahiran pekerja.

Kesuma turut mengingatkan kegagalan mematuhi Perintah Gaji Minimum merupakan satu kesalahan di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732].

Sekiranya disabitkan kesalahan, majikan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap pekerja, denda tambahan sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan dan bagi kesalahan berulang, denda maksimum boleh mencecah RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Menurutnya, Kesuma turut menggalakkan majikan untuk memanfaatkan Dasar Gaji Progresif (DGP) yang bersifat sukarela dan bertindak sebagai pelengkap kepada pelaksanaan gaji minimum.

“Melalui DGP, majikan berpeluang meningkatkan pendapatan pekerja berdasarkan produktiviti, kemahiran dan sumbangan kerja, sambil menikmati insentif tunai bersasar daripada kerajaan.

“Ini bukan sahaja membantu syarikat mengekalkan pekerja berkemahiran tinggi malah turut mengukuhkan daya saing jangka panjang dalam pasaran buruh yang semakin mencabar,” tambah Kesuma.

Sebarang pertanyaan atau aduan mengenai pelaksanaan Perintah Gaji Minimum boleh dikemukakan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di seluruh negara atau melalui laman rasmi Kesuma. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast