Antara ubat dan kosmetik diseludup masuk dari Thailand yang dirampas PGA.

PADANG BESAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) mengagalkan cubaan menyeludup masuk barangan kosmetik dan ubat-ubatan dari Thailand yang tidak mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi pemeriksaan Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kilometer 27, di sini, semalam.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Perak, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, dua lelaki tempatan ditahan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Batalion 2 PGA Kulim, Kedah bersama anggota bertugas di SJR berkenaan bersama lori masing-masing.

“Dalam pemeriksaan itu kita merampas 680 kotak barangan kosmetik pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM110,400 serta 76 kotak ubat-ubatan dan suplemen pelbagai jenis dengan nilai anggaran RM496,750.

“Kesemua barangan kosmetik serta ubat-ubatan pelbagai jenis dari Thailand itu didapati tidak berdaftar dengan KKM.

Antara ubat dan kosmetik diseludup masuk dari Thailand yang dirampas PGA.

“Selain itu, dua buah lori bonded yang digunakan untuk membawa barangan tersebut turut disita dan dianggarkan bernilai RM400,000. Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM1,007,150,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, semua rampasan dan suspek diserahkan kepada Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Perlis untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM50,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast