MyKiosk Meru Raya, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 27 DISEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming mendesak pihak yang telah membuat tohmahan berhubung inisiatif MyKiosk untuk tampil meminta maaf kepada warga kementerian tersebut.

Tegasnya, pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah melaksanakan pelbagai usaha bagi membantu para peniaga dan memperkasakan inisiatif MyKiosk.

“Pengisian MyKiosk belum mencapai kadar 100 peratus, memang saya akui ada kelemahan dari segi pentadbiran.

“Namun begitu, pihak kementerian, termasuk saya sendiri telah turun padang untuk melihat keadaan di beberapa negeri, termasuk di bawah kepimpinan pembangkang bagi membantu para peniaga dan memperkasakan inisiatif MyKiosk ini dan sehingga ini pengisian MyKiosk 1.0 sudah mencapai 91 peratus dan MyKiosk 2.0 sudah mencatat pengisian 87 peratus.

“Kita bukan jaguh Tik Tok yang suka menyebarkan sebarang tohmahan di media sosial, kita ahli dewan yang mulia ini,” katanya semasa menjawab soalan tambahan daripada Mohd Hasnizan Harun (Hulu Selangor) mengenai kekosongan MyKiosk di seluruh negara di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Kor Ming antara insiatif yang dijalankan adalah memperkenalkan sistem “lampu isyarat” bagi menilai prestasi pencapaian 156 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara dalam melaksanakan status pengisian dan pengoperasian MyKiosk.

Sistem yang mempunyai tiga kategori iaitu hijau, kuning dan merah berdasarkan pencapaian PBT itu digunakan sebagai mekanisme pemantauan yang lebih efektif.

Pihak yang mendapat lampu hijau katanya, akan menerima peruntukan tambahan, manakala yang mendapat lampu merah mungkin menghadapi pengurangan peruntukan atau penarikan balik peruntukan.

Bagaimanapun katanya, bagi PBT yang mendapat lampu merah, KPKT akan bekerjasama dengan mereka untuk mengenal pasti masalah dan mencari penyelesaian baginya.

“Sehingga Julai 2025, pengisian MyKiosk 1.0 yang dilancarkan pada 2023 adalah sebanyak 2,926 unit, manakala bagi MyKiosk 2.0 yang dilancarkan pada 2024, sebanyak 3,518 unit telah diisi.

“Sekarang ini, siapa yang baling batu, jangan simpan tangan. Saya menuntut mereka mohon maaf bagi warga KPKT yang bertungkus-lumus bekerja.

“Pihak yang membuat sebarang tohmahan atau menyebar fitnah mengenai MyKiosk, silalah minta maaf,” katanya merujuk kepada dakwaan segelintir pihak bahawa terdapat unsur salah guna kuasa dan rasuah dalam pelaksanaan inisiatif MyKiosk.

Pada 3 Julai lalu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengumumkan, tiada elemen jenayah berhubung siasatan dakwaan wujudnya amalan rasuah dan penyelewengan berhubung tender pembinaan MyKiosk oleh KPKT.

Katanya, siasatan SPRM yang dijalankan ketika ini adalah berkaitan isu tatakelola. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast