KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis trafik cedera selepas dirempuh sebuah motosikal ketika sedang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan rosak di lorong kecemasan di Kilometer 21.2 Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) arah utara, kira-kira jam 9.15 pagi tadi.
Mangsa yang berpangkat sarjan berusia 43 tahun dari unit peronda lebuh raya itu cedera di muka dan kepala.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, ketika kejadian, anggota berkenaan sedang menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan yang rosak di lorong kecemasan lebuh raya terbabit.
“Sebuah motosikal yang berada di laluan sama dipercayai tidak sempat mengelak lalu melanggar anggota trafik terbabit dari arah belakang.
“Rempuhan itu menyebabkan anggota polis tersebut mengalami kecederaan di bahagian muka dan kepala, manakala penunggang motosikal yang juga seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun turut cedera,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kedua-dua mangsa telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk mendapatkan rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette.
















