KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan terhadap bekas Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak Farhash Wafa Salvador yang dianugerahkan lesen cari gali mineral di Sabah, dengan luas kawasan tidak masuk akal iaitu tiga kali ganda keluasan bandar Kuala Lumpur.

Suara Mahasiswa UMS berkata, siasatan itu bagi membuktikan sekiranya wujud unsur jenayah dan salah laku dalam skandal yang didedahkan oleh sebuah portal baru-baru ini.

Menurutrnya, Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM), agensi pelesenan mineral Sabah yang dipengerusikan Ketua Menteri Hajiji Noor didakwa terpalit skandal rasuah melibatkan sebilangan besar Ahli Dewan Undangan Negeri Gabungan Rakyat Sabah termasuk Speaker DUN Sabah.

“Pendedahan terbaru ini dikhuatiri bersangkutan dengan skandal rasuah yang sedang menggemparkan negara.

“Kami menggesa satu siasatan menyeluruh daripada pihak berautoriti terutama SPRM sekiranya terdapat unsur jenayah dan salahlaku dalam skandal yang baru didedahkan ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, Suara Mahasiswa UMS dalam siri kempen Gempur Rasuah Sabah akan kekal keras menuntut, mencabar dan mengkritik golongan elit politik, orang-orang kaya yang terus menerus ingin merompak harta rakyat dan kekayaan negeri tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast