KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengesahkan tiada kenaikan harga dikesan susulan pelarasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai lepas.
Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata setakat ini 195 unit penyimpanan stok (SKU) barangan keperluan asas telah diperiksa menerusi Ops Kesan 4.0 sejak 1 Julai lepas.
Beliau berkata pemeriksaan membabitkan 39 premis di seluruh negeri itu menfokuskan barangan pengguna seperti barangan basah dan makanan dalam tin yang dikecualikan daripada SST bagi memastikan tiada sebarang kenaikan harga tidak munsabah yang boleh membebankan pengguna.
“Sejak pelaksanaan pelarasan SST pada 1 Julai lepas, kita belum menerima apa-apa aduan mengenai kenaikan harga barangan. Bahkan, pegawai yang turun padang juga setakat ini tidak merekodkan sebarang tindakan yang diambil.
“Kita akan terus memantau dari semasa ke semasa secara berterusan ke atas semua kategori perniagaan termasuk pengilang, pengimport, pemborong, pengedar dan peruncit bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menggunakan SST untuk memanipulasi harga sebagai alasan menaikkan harga barang,” katanya pada sidang media Ops Kesan 4.0 di Pasaraya PKT Pasir Tumboh, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan Semakan dan peluasan skop SST secara bersasar bermula pada 1 Julai lalu.
— BERNAMA















