KUALA LUMPUR – Datuk Ts. Ahmad Ramdzan Daud dilantik sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM) yang baharu berkuat kuasa 23 Julai 2025.
Beliau menggantikan Rahman Mohd Din yang telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pemantauan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada 21 Julai lalu.
Sebelum dilantik, Ahmad Ramdzan memegang jawatan sebagai Pengarah Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau telah mula berkhidmat sebagai Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis (Kuala Lumpur) pada April 1987.
Sebelum dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas, beliau pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah di Economic Extremist Threats, Cawangan Khas, PDRM; Pegawai Perhubungan Keselamatan di Washington DC, Amerika Syarikat; Ketua Cawangan Khas Johor; Penolong Pengarah Kanan Bahagian Sekretariat dan Penyelidikan Cawangan Khas; dan Timbalan Pengarah Cawangan Khas pada tahun 2022.
Di peringkat antarabangsa pula, Ahmad Ramdzan merupakan Presiden Federal Bureau Investigation National Academy Associates (FBINAA) Asia Pacific Chapter (7th Division Malaysia).
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Sains Kepujian (Pengurusan Maklumat) dari Universiti Teknologi MARA, Shah Alam pada tahun 2008.
“Seluruh warga IIM merakamkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada Datuk Ts Ahmad Ramdzan atas pelantikan ini. Setinggi-tinggi penghargaan juga buat Rahman atas jasa dan khidmat bakti beliau sepanjang berkhidmat di IIM,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette















