KUALA LUMPUR – Pengakuan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang mengakui terdapat kelemahan dalam projek MyKiosk membuktikan pendedahan oleh Pemuda dan Beliawanis MCA ada asasnya, relevan dan bukan fitnah semata-mata.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun berkata, Kor Ming gagal menjelaskan isu pokok berkenaan harga jualan sehingga RM25,000 hingga RM34,000 berbanding harga yang ada di pasaran serendah RM12,800 bagi seunit kiosk.
“Kenapa ia tidak dikawal dan dipantau supaya tiada mana-mana pihak dapat mengambil kesempatan dalam projek ini,” soalnya sambil mendakwa menteri itu masih terperangkap dengan keangkuhannya apabila menuntut pihak yang mendakwa projek MyKiosk sebagai ‘gajah putih‘ untuk tampil membuat permohonan maaf.
Adakah Kor Ming lupa? Pada 6 Mei lalu, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar yang terawal mengaitkan projek MyKiosk ini sebagai ‘gajah putih’.
“Adakah menteri akan mendesak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai yang juga dari parti DAP untuk memohon maaf kepada warga KPKT?,” tanya beliau lagi.
Siew Mun menegaskan, Pemuda MCA membuat pendedahan dan melontarkan soalan berdasarkan maklumat sahih yang diperoleh daripada rakyat dan sumber yang tepat, bukan sengaja mencari salah Menteri DAP, tetapi bersuara demi kebaikan rakyat.
Tegas beliau, mengakui kelemahan dalam pentadbiran projek ini bukan bermakna dakwaan projek ‘gajah putih’ ini sudah selesai.
“Menteri juga harus terima hakikat terdapat banyak lagi unit kiosk yang dibiar terabai tanpa diisi,” katanya yang turut menasihatkan Kor Ming supaya belajar dan memahami maksud ‘projek gajah putih‘. Kalau ini bukan projek gajah putih, apakah nama yang lebih sesuai?,” soalnya lagi.
Justeru Pemuda MCA menggesa Kor Ming menjelaskan secara terperinci, daripada 87% pengisian yang diumumkan, berapa pecahannya mengikut negeri dan berapakah harga jualan bagi setiap kiosk. – MalaysiaGazette















