Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar.

KUALA LUMPUR – Pengumuman bantuan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi ekonomi malah manifestasi keprihatinan kerajaan memelihara maruah dan kesejahteraan seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, pengumuman khas itu turut memberi manfaat secara langsung kepada golongan asnaf yang memerlukan perlindungan dan sokongan berterusan.

Katanya, golongan agamawan seperti guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA); guru takmir dan pondok; para hafiz dan asatizah yang menjadi tunjang pengembangan ilmu warisan Islam yang gigih mendidik generasi pewaris turut mendapat manfaat.

Selain itu, ujarnya, turut mendapat manfaat ialah para imam; bilal; pendakwah serta pentadbir institusi agama yang besar dalam membina masyarakat berakhlak.

Golongan lain, tambah beliau, adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang aktif dalam kerja kebajikan, pendidikan dan advokasi ummah; peguam syarie; pegawai hal ehwal Islam serta seluruh warga kerja institusi keagamaan yang berkhidmat penuh dedikasi demi kemaslahatan umat.

“Pengumuman ini membuktikan ikhtiar berterusan Kerajaan MADANI yang sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat dan mendengar denyut nadi mereka.

“Semoga usaha murni ini menjadi asbab keberkatan daripada Allah dan kemakmuran yang berpanjangan buat tanah air tercinta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Na’im berkata, pihaknya akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi agama, institusi masyarakat dan kepimpinan negara dalam memastikan setiap lapisan rakyat dapat merasai nikmat pembangunan dan keadilan sosial yang digagaskan di bawah Malaysia MADANI. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast