KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak mahu diberikan imuniti bersabit kes Pulau Batu Puteh, sebaliknya bersedia didakwa di mahkamah.
Ini kerana, menurutnya, beliau yakin tidak bersalah dalam isu terbabit sekaligus mahu membuktikannya di mahkamah.
Malah, secara sinis, katanya, imuniti adalah untuk mereka yang takut untuk ke mahkamah kerana sedar dirinya bersalah.
“Dia kata umur saya 100 tahun kerana itu saya tidak didakwa walau bersalah. Ini maknanya saya dapat imuniti. Saya tidak mahu imuniti. Jika tuduh saya bersalah, hadapkan saya di mahkamah dan buktikan saya bersalah.
“Saya tahu saya tak bersalah dan saya mahu buktikan,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang Dewan Rakyat berkata, Kabinet memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu Batu Puteh atas faktor usianya yang sudah lanjut.
Bagaimanapun, kata Anwar, kerajaan berpendirian Dr. Mahathir tetap bersalah kerana keputusan beliau sebagai Perdana Menteri pada 2018 yang melepaskan Batu Puteh dengan begitu mudah kepada Singapura.
Sementara itu, Dr. Mahathir turut menyindir Anwar yang disifatkan bukan sahaja seorang Perdana Menteri malah turut boleh menjadi pendakwa raya atau hakim.
“Yang hukum saya bersalah ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar. Yang umum saya tak perlu diambil tindakan ialah Datuk Seri Anwar.
“Ini bermakna Datuk Seri Anwar bukan sahaja PM, dia juga hakim dan juga pendakwaraya. Begitulah hebat kuasanya.
“Tetapi Perlembagaan tidak sebut Perdana Menteri boleh jadi pendakwaraya atau hakim,” katanya. – MalaysiaGazette
















