KUALA LUMPUR – Cadangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan agar Jabatan Wilayah Persekutuan diletakkan semula di bawah seliaan Timbalan Perdana Menteri 1, khususnya di Bawah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan sahaja mundur dari segi prinsip tadbir urus moden, malah berpotensi mewujudkan pertindihan kuasa serta menjejaskan keberkesanan penyelarasan dasar di peringkat tertinggi kerajaan.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Bukit Bintang, Firzan Hakimi berkata, mereka perlu sedar penstrukturan semula Kementerian Wilayah dan penempatannya di bawah Jabatan Perdana Menteri merupakan langkah strategik yang membolehkan Perdana Menteri sendiri memberi perhatian terus kepada isu-isu Wilayah Persekutuan.
Ia sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak dipinggirkan, malah menjadi tumpuan dalam agenda pembangunan nasional secara menyeluruh.
Di bawah seliaan perdana menteri, pelbagai inisiatif dan dasar untuk bandar lebih mampan, pembangunan inklusif, serta penyelarasan antara agensi seperti DBKL, Perbadanan Putrajaya, dan Labuan Corporation sedang berjalan lancar dan lebih tersusun.
Malah, penempatan ini membolehkan keputusan yang lebih cepat dibuat serta dasar yang lebih sejajar dengan aspirasi rakyat di bandar-bandar berkenaan.
“Adalah sangat tidak wajar untuk menangguk di air keruh dengan menggambarkan seolah-olah golongan B40, anak muda dan masyarakat bandar terabai, sedangkan pelbagai dasar pro-rakyat seperti reformasi perumahan mampu milik, pengangkutan awam mesra rakyat, pembaharuan penjaja kota, dan usaha menambah baik ruang sosial komuniti sedang giat dijalankan melalui kerjasama pelbagai agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Pemuda UMNO Wilayah perlu mengelak daripada menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai medan kepentingan politik atau pengaruh individu tertentu. Apa yang penting ialah memastikan sistem penyampaian kerajaan lebih efisien, dasar-dasar dilaksanakan dengan holistik, dan suara rakyat benar-benar dibawa ke meja pembuat dasar tanpa ditapis oleh agenda politik,” ujarnya.
Tambah beliau, Kerajaan Perpaduan hari ini komited untuk mentadbir dengan pendekatan berasaskan data, inklusif dan berpaksikan rakyat.
“Kita tidak boleh kembali ke era di mana kementerian digunakan untuk mengukuhkan kedudukan politik kelompok tertentu, sebaliknya kita harus mara ke depan dengan struktur yang lebih bersepadu dan bertanggungjawab di bawah pimpinan tertinggi negara.
Ujarnya, Wilayah Persekutuan adalah nadi pentadbiran dan wajah negara, justeru, biarlah ia terus berada di bawah perhatian langsung perdana menteri agar setiap inci keperluan rakyat kota dapat ditangani dengan lebih serius dan menyeluruh. – MalaysiaGazette















