Suasana gerai penjaja di Desa Pandan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)  tidak akan merobohkan gerai penjaja di kawasan Desa Pandan bagi kerja-kerja pelebaran.

Sebaliknya, gerai di kawasan berkenaan akan dinaik taraf secara menyeluruh demi menjaga imej Kuala Lumpur sebagai bandar raya moden dan tersusun, kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Perkara ini diputuskan selepas beliau berbincang bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif hari ini.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa diiringi Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah ketika melakukan tinjauan berhubung cadangan menaiktaraf jambatan di Desa Pandan, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 23 JULAI 2025.

Kita tak akan roboh begitu saja. Kalau kita tengok sekarang, satu gerai pakai khemah, satu pakai grill, ada yang ada tandas, ada yang tak ada.

“Bila keadaan macam ini dibiarkan, ia bukan sahaja beri imej tidak baik kepada bandar raya kita, malah pengunjung pun rasa tak selesa.

“Kita tidak boleh biarkan Kuala Lumpur jadi contoh kepada pengurusan yang tidak tersusun,” katanya dalam sidang media selepas meninjau kawasan tersebut, hari ini.

Menurut Johari, ini kerana wujud ketidakseimbangan dari segi struktur fizikal dan kemudahan asas di kawasan penjaja ini mencerminkan kelemahan pengurusan serta memberi gambaran negatif terhadap Kuala Lumpur sebagai ibu negara.

Oleh itu, beliau menyokong penuh langkah DBKL untuk melaksanakan rekaan semula kawasan tersebut secara menyeluruh termasuk pembangunan gerai baharu yang lebih sistematik dan menyenangkan semua pihak.

Johari turut memberi contoh kejayaan penambahbaikan di Pasar Wirawati yang kini menjadi pusat tumpuan selepas melalui proses penaiktarafan oleh DBKL.

Struktur fizikal gerai penjaja di Desa Pandan yang tidak seimbang menjejaskan imej Kuala Lumpur Foto AIZAT ZAINAL, 23 JULAI 2025.

“Dulu tempat itu tak ramai orang datang. Tapi bila DBKL peruntukkan bajet dan naik taraf, ia jadi tempat orang duduk, makan dan berniaga dengan selesa. Itu bukti kalau kita buat elok, rakyat pun dapat manfaat,” jelasnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, penambahbaikan gerai penjaja di kawasan itu juga akan dimasukkan di bawah Program Lestari Wilayah yang sedang dilaksanakan oleh DBKL.

“Saya dah bincang dengan Datuk Bandar, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif bahawa kawasan ini boleh dimasukkan dalam program Lestari untuk kita jadikan kedai-kedai lebih cantik dan menarik.

“Program ini memang sudah ada. Soal bajet kita akan fikirkan kemudian. Yang penting, kita mahu kawasan ini jadi satu tarikan dan kemudahan kepada semua,” katanya. – MalaysiaGazette

Polis tahan lelaki mengamuk pegang parang di Desa Pandan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast