NEW DELHI – Anak kepada seorang wanita yang terbunuh dalam nahas pesawat Air India memberitahu dia menerima mayat lain di dalam keranda selepas mayat ibunya diserahkan kepada United Kingdom (UK).
Miten Patel, yang bapanya juga maut dalam nahas itu berkata, koroner mendapati mayat-mayat bercampur dan membuatkan dia bimbang: “Berapa ramai lagi yang berada di dalam (keranda)?.
Daily Mail melaporkan pada hari Rabu, mayat yang salah telah dihantar kepada keluarga selepas nahas tersebut mengorbankan 260 orang sejurus selepas berlepas pada awal Jun lalu.
Sebelum ini, Kementerian Luar India berkata, semua jenazah dikendalikan dengan profesionalisme sepenuhnya dan bekerjasama dengan pegawai UK untuk menangani kebimbangan ahli-ahli keluarga mangsa.
Ashok dan Shobhana Patel dalam perjalanan pulang untuk melawat anak dan cucu mereka pada 12 Jun lalu dan mayat mereka antara mangsa pertama yang diserahkan.
Anak lelaki mereka, Miten berkata, percampuran itu sangat menjengkelkan.
“Orang ramai letih dan terdapat banyak tekanan. Tetapi perlu ada tahap tanggungjawab yang anda menghantar mayat yang betul ke UK,” katanya.
Daily Mail melaporkan dua kes mayat yang salah didakwa dikembalikan kepada keluarga di UK.
Satu kes melibatkan sebuah keluarga menerima mayat yang salah sepenuhnya, manakala seorang lagi membabitkan mayat beberapa orang yang diletakkan dalam keranda yang sama.
Kementerian Luar India berkata, mereka menyedari laporan itu “dan telah bekerjasama rapat dengan pihak UK sejak kebimbangan dan isu ini dibawa kepad perhatian kami”.
Kenyataan itu menyambung: “Ekoran kemalangan tragis itu, pihak berkuasa berkenaan telah menjalankan pengecaman mangsa mengikut protokol dan keperluan teknikal yang ditetapkan.
“Semua jenazah telah dikendalikan dengan penuh profesionalisme dan dengan mengambil kira maruah si mati. Kami terus bekerjasama dengan pihak berkuasa UK untuk menangani sebarang kebimbangan berkaitan isu ini,” katanya. – Agensi















