Ibu kepada Allayarham Zayn Rayyan Matin, Ismanira Abdul Manaf (kiri) ditemani oleh suaminya, Zaim Ikhwan Zahari (tengah) ketika hadir ke mahkamah bagi sambungan membela diri atas pertuduhan mengabaikannya anaknya di Mahkamah Petaling Jaya, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 23 JULAI 2025.

PETALING JAYA – ‘Ismanira dan Zaim Ikhwan sangat menyayangi Zayn Rayyan. Mereka ibu bapa yang bertanggungjawab, saya percaya mereka tidak terlibat dalam kes ini,”

Penegasan Zahari Mohd Reba, 57, datuk kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin itu dinyatakan ketika memberikan keterangan saksi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Zahari berkata demikian dalam perbicaraan bela diri menantu sulungnya, Ismanira Abdul Manaf, yang berdepan pertuduhan mengabaikan anaknya hingga mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Menurut Zahari yang juga pengurus produksi, berita mengenai kematian cucunya pada 6 Disember 2023 amat mendukacitakan seluruh keluarga kerana kanak-kanak autisme itu begitu disayangi oleh semua tanpa berbelah bahagi. 

“Zayn Rayyan merupakan cucu kesayangan saya. Setiap hujung minggu, jika anak dan menantu tidak bekerja, mereka datang ke rumah. Hubungan mereka rapat dan penuh kasih sayang,” katanya ketika menjawab soalan peguam bela, Haresh Mahadevan.

Zahari mendakwa kasih sayang yang diberikan Ismanira terhadap Zayn Rayyan sama seperti adiknya yang lain.

Prosiding bersambung akan bersambung esok.

Ismanira kini membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya bersama suami, Zaim Ikhwan Zahari, 30, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mahkamah Isnin lepas telah memutuskan untuk melepas dan membebaskan Zaim Ikhwan daripada pertuduhan tersebut selepas mendapati tiada kes prima facie terhadapnya.

Kesalahan itu didakwa berlaku di sekitar Blok R, Apartment Idaman sehingga ke kawasan sungai berhampiran lokasi tersebut antara jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh TPR Raja Zaizul Faridah bersama Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi, manakala Ismanira diwakili peguam bela Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Lavanesh Haresh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast