KUALA LUMPUR – Penurunan harga RON95 kepada RM1.99 seliter serta pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada semua rakyat Malaysia merupakan usaha kerajaan untuk menyalurkan semula peningkatan hasil negara kepada rakyat.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, kedua-dua inisiatif tersebut juga merupakan tanda penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia yang terus bersama mendukung reformasi fiskal negara.
“Ia juga mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI untuk mengagihkan semula kekayaan negara yang semakin berkembang — hasil daripada keberanian melaksanakan langkah-langkah pembaharuan fiskal dan pengurusan ekonomi yang lebih cekap, berlandaskan hala tuju yang dipeta dalam kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.
Menerusi pengumuman khas oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, kerajaan katanya, bakal melaksanakan langkah segera untuk menangani beban kos sara hidup rakyat pada tahun ini.
Ini termasuk melaksanakan penyasaran subsidi RON95 agar rakuat biasa kekal menikmati subsidi sementara kerajaan dapat menangani ketirisan kepada mereka yang tidak layak.
Jelas beliau, Kerajaan akan menurunkan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter khusus untuk rakyat Malaysia sementara warganegara asing perlu membayar pada harga pasaran tanpa subsidi.
Langkah itu akan memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.
Selain itu, kerajaa juga akan menyalurkan RM100 melalui MyKad secara one-off kepada setiap individu rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas mulai 31 Ogos 2025 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diterajui oleh Kementerian Kewangan.
Ini merupakan julung kalinya bantuan tunai disalurkan kepada seluruh rakyat dewasa.
“Mulai 31 Ogos 2025, setiap individu rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan menerima RM100 secara one-off menggunakan MyKad di bawah program SARA.
“Dengan ini, seramai 22 juta rakyat Malaysia layak menerima pengkreditan ini secara individu. Langkah ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion,” katanya.
Secara kolektif, sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit SARA yang lebih tinggi.
Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM400 — dan bukannya hanya RM100.
Kredit SARA boleh dibelanjakan di lebih 4,100 premis runcit melibatkan lebih 90,000 barangan keperluan dalam 14 kategori — antaranya beras, telur, kebersihan rumah, ubat-ubatan dan keperluan sekolah.
Kredit RM100 ini akan sah digunakan sehingga tarikh luputnya, 31 Disember 2025. Rentetan itu, baki yang tidak dibelanjakan akan diagihkan semula kepada golongan rentan melalui program yang diputuskan kelak.
SARA merupakan program pelengkap kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang menyalurkan kredit bulanan khusus untuk pembelian barangan asas. Inisiatif ini digagaskan oleh Kerajaan MADANI dan diperkenalkan menerusi Belanjawan MADANI pertama pada 2023, serta kini memanfaatkan 5.4 juta penerima aktif. -MalaysiaGazette















