NIBONG TEBAL – Seorang penyelia stor kerugian berjumlah RM624,617 selepas terpedaya dengan pelaburan dalam talian menerusi aplikasi dikenali sebagai XGI Horizon.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, lelaki berusia 56 tahun yang bekerja di Batu Kawan itu mendakwa melihat iklan pelaburan di laman Facebook pada awal Februari lalu sebelum  berhubung dengan suspek lelaki melalui aplikasi WhatsApp.

Jelas beliau, mangsa dikatakan berminat pelaburan tersebut  kerana ia menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

“Suspek kemudian meminta mangsa memuat turun aplikasi XGI Horizon serta mendaftar sebagai ahli dan mula membuat pelaburan.

“Susulan itu, antara 18 Februari hingga 24 April lalu mangsa telah melakukan 31 transaksi kemasukan wang berjumlah RM624,617 ke dalam 10 akaun syarikat berbeza.

“Mangsa hanya menyedari ditipu apabila gagal mengeluarkan keuntungan melalui aplikasi tersebut dan diminta membuat bayaran tambahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Alwi, mangsa membuat laporan polis pada Isnin lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Kita ingin mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan sebarang tawaran pelaburan dalam talian, terutama yang dipromosikan melalui media sosial.

“Orang ramai juga dinasihatkan membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast