KUALA LUMPUR – Perdana Menteri melahirkan rasa sedih dengan kejadian sebuah jet Tentera Udara Bangladesh yang terhempas ke dalam kawasan kampus sekolah dan kolej di Dhaka, Bangladesh semalam.
Sehubungan itu, menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau akan mengutus ucapan takziah dan menyatakan solidariti Malaysia terhadap rakyat negara itu kepada Ketua penasihat kerajaan interim Bangladesh, Prof Muhammad Yunus susulan tragedi tersebut.
Menurut beliau, ramai dilaporkan terkorban dalam kejadian itu dengan kebanyakan mereka merupakan kanak-kanak, dengan beratus yang lain dilaporkan cedera.
“Antara mangsa ialah Maherin Chowdhury, seorang guru yang membawa murid-muridnya ke tempat selamat dan kemudian kembali semula meredah asap dan api demi menyelamatkan lebih ramai mangsa.
“Keberaniannya yang luar biasa tidak akan dilupakan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Anwar, Malaysia bersama-sama Bangladesh dalam mengharungi situasi yang menyedihkan itu dan meratapi setiap nyawa yang terkorban serta setiap keluarga yang dilanda musibah tersebut.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 27 orang maut, termasuk 25 kanak-kanak, selepas sebuah jet Tentera Udara Bangladesh terhempas ke dalam kawasan kampus sekolah dan kolej di Dhaka, kelmarin.
Menurut pegawai tentera, kemalangan yang berlaku ketika misi latihan ketenteraan itu turut mencederakan 170 mangsa termasuk 88 yang sedang dirawat di hospital akibat kecederaan melecur.
Pesawat pejuang F-7 BGI buatan China milik Tentera Udara Bangladesh itu terhempas ke bangunan Milestone School and College di kawasan Uttara, Dhaka, sejurus berlepas pada pukul 1.06 tengah hari dari pangkalan udara Kurmitola di ibu negara, dalam satu misi latihan rutin. – MalaysiaGazette
















