Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memaklumkan Program Memfail Penyata Keuntungan oleh Entiti Labuan bagi Tahun Taksiran (TT) 2025 di bawah Sistem Taksir Sendiri (STS) telah dimuat naik di portal rasminya sebagai rujukan dan panduan kepada pembayar cukai.

Dokumen tersebut boleh diakses melalui www.hasil.gov.my; dan klik menu Borang > Program Memfail Penyata Keuntungan Oleh Suatu Entiti Labuan Bagi Tahun Taksiran 2025 Di Bawah Sistem Taksir Sendiri.

Menurutnya, mulai TT 2025 (berasaskan tahun semasa), STS diperkenalkan kepada entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perniagaannya.

Langkah ini selaras dengan pindaan kepada Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan 1990 (ACAPL 1990) melalui Akta Cukai Aktiviti Perniagaan Labuan (Pindaan) (No. 2) 2024 [Akta A1741].

Perubahan ini bertujuan menyeragamkan sistem percukaian entiti Labuan dengan
sistem percukaian yang dilaksanakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP
1967) dan Akta Petroleum (Cukai Pendapatan) 1967.

Di bawah pelaksanaan STS, setiap entiti Labuan bertanggungjawab mengemukakan
penyata keuntungan serta membayar cukai atau baki cukai yang perlu dibayar dalam
tempoh tujuh bulan dari tarikh akhir penutupan tempoh perakaunan yang menjadi
asas bagi TT berkenaan.

Kegagalan mematuhi ketetapan ini boleh menyebabkan tindakan penguatkuasaan diambil di bawah seksyen 23A ACAPL 1990 serta kenaikan cukai di bawah seksyen 11 ACAPL 1990.

Berdasarkan pindaan ACAPL 1990, entiti Labuan juga diwajibkan untuk mengemukakan penyata keuntungan melalui medium elektronik atau penghantaran elektronik [seksyen 5 dan 10 ACAPL 1990]; melaporkan pendapatan dalam penyata keuntungan berdasarkan akaun beraudit [seksyen 5 dan 10 ACAPL 1990]; dan mengemukakan maklumat yang betul dalam penyata keuntungan [perenggan 5(3)(b) atau 10(3)(b) ACAPL 1990].

LHDN menasihatkan semua pihak berkepentingan agar membuat persediaan sewajarnya dan merujuk kepada dokumen panduan tersebut di portal rasminya bagi memastikan pematuhan percukaian sepenuhnya di bawah STS ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast