William Ng

KUALA LUMPUR – Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) menyambut baik petunjuk ekonomi yang memberangsangkan yang dikongsikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, khususnya pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang kukuh, peningkatan kedudukan daya saing global, dan kestabilan nilai ringgit.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, ini adalah petanda positif bahawa ekonomi Malaysia berada pada landasan yang kukuh.

Namun, katanya, Samenta menggesa kerajaan untuk memastikan manfaat pertumbuhan ini turut dirasai secara bermakna oleh sektor perusahaan sederhana, mikro, kecil dan sederhana (PMKS), yang masih bergelut dengan cabaran berterusan seperti kekangan pembiayaan, kekurangan tenaga kerja dan kenaikan kos operasi.

“Kami menyokong usaha menaikkan taraf hidup melalui program-program seperti STR dan SARA. Pada masa yang sama, kami menyeru agar bantuan tambahan diberikan kepada PMKS untuk menangani tekanan kos ini, terutamanya melalui subsidi gaji, pelepasan cukai bersasar, dan geran automasi.

“Kami mengambil maklum peluasan inisiatif SARA dan rangkaian jualan Rahmah, yang dijangka meningkatkan perbelanjaan domestik.

“Namun, kami menggalakkan kerajaan untuk melibatkan PMKS secara aktif, khususnya peruncit tradisional dan perusahaan mikro, sebagai vendor dalam program ini supaya manfaat kepada rakyat turut memanfaatkan perniagaan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, William berkata, Samenta menghargai cuti tambahan sebagai simbolik sambutan Hari Malaysia namun menyifatkan pengumman secara mengejut boleh menjejaskan operasi PMKS.

“Setiap cuti tambahan membawa kos sebenar kepada PMKS dari segi produktiviti, bayaran kerja lebih masa dan kelewatan penghantaran,” ujarnya.

Oleh itu, Samenta menggesa kerajaan menjalankan penilaian impak sebelum mengisytiharkan cuti umum yang tidak dijadualkan.

Pada masa sama, Samenta mengalu-alukan pembekuan kenaikan kadar tol dan komitmen berterusan kerajaan dalam menangani tekanan kos sara hidup.

Langkah ini, katanya, mampu memberi kelegaan yang sangat diperlukan kepada PKS yang menghadapi margin keuntungan yang ketat dan kenaikan kos input.

“Sebagai persatuan PMKS yang tertua dan terbesar di Malaysia, Samenta komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan manfaat
pertumbuhan ekonomi dirasai secara inklusif oleh para pemain,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast