Logo Universiti Kebangsaan Malaysia

BANGI – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memandang serius dapatan Laporan Ketua Audit Negara 2/2025 yang melibatkan beberapa aspek ketidakpatuhan proses perolehan bagi projek-projek pembekalan perkhidmatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Menurutnya, sebagai institusi pengajian tinggi awam yang berintegriti, UKM komited untuk memastikan setiap perbelanjaan diurus secara telus dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Sebagai langkah proaktif, Naib Canselor telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Audit Negara di Parlimen pada 23/7/2025 bagi membincangkan langkah-langkah penambahbaikan berkenaan tatacara tadbir urus universiti.

“UKM juga akan bertindak selaras dengan syor Jabatan Audit Negara agar menambahbaik Garis Panduan Perolehan UKM berkaitan proses penilaian dan pemilihan kontraktor bagi memastikan ia selaras dan mengikut Pekeliling Perbendaharaan dan peraturan kewangan yang berkuat kuasa,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan HCTM menganugerahkan kontrak katering bernilai RM25.64 juta kepada sebuah syarikat yang tidak mempunyai sijil lalal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Syarikat yang dinamakan sebagai 0267299-T itu dianugerahkan kontrak bagi membekalkan makanan kepada pesakit hospital berkenaan selama tiga tahun bermula Februari 2024.

“Perolehan Perkhidmatan Sajian Makanan Pesakit di HCTM bertujuan menyediakan sajian makanan yang halal kepada pesakit HCTM bersesuaian dengan status Dapur Utama yang mendapat pensijilan halal daripada Jakim, memberikan perkhidmatan sajian makanan pesakit dengan cemerlang dan berkualiti tinggi serta mematuhi piawaian berkaitan.

“Semakan Audit mendapati syarikat yang ditawarkan kontrak berkenaan gagal penilaian teknikal tetapi masih dibawa ke Jawatankuasa Penilaian Kewangan,” katanya laporan tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast