KEPALA BATAS – Selepas 15 tahun menyewa rumah, seorang pesara tentera akhirnya berjaya memiliki kediaman sendiri hasil bantuan pembinaan rumah baharu menerusi Program Sinar Lestari YAPEIM.
Tahir Suhid, 55, berkata, impian untuk tinggal di rumah sendiri bersama isteri dan lima anak akhirnya menjadi kenyataan apabila rumah tiga bilik bernilai RM80,000 yang dibina di atas tanah miliknya siap sepenuhnya dan sedia didiami.
Menurutnya, beliau membeli tanah tersebut sejak masih dalam perkhidmatan, namun tidak berkemampuan untuk membina rumah kerana kekangan kewangan.
“Dulu kami sekeluarga menyewa dengan bayaran RM260 sebulan kerana tidak mampu memiliki rumah sendiri.

“Alhamdulillah, impian miliki rumah sendiri tertunai dan bantuan daripada pihak YAPEIM ini meringankan beban kami tujuh sekeluarga,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan rumah yang disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar di Penaga di sini hari ini.
Selain Tahir, dua penerima lain turut menerima bantuan rumah baharu menerusi program sama, melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM240,000.
Sementara itu, Mohd Na’im berkata, sebanyak 293 projek pembinaan dan baik pulih rumah telah dilaksanakan oleh YAPEIM sejak tahun 2020 melibatkan peruntukan RM13.5 juta di seluruh negara.
Katanya, daripada jumlah itu, 167 adalah projek baik pulih dan 126 projek bina baharu, dengan 234 projek telah siap, manakala baki 59 lagi sedang dalam pembinaan.
“Program ini dilaksana melalui dana Tabung Pembangunan YAPEIM hasil sumbangan masyarakat. Lagi ramai yang menyumbang, lebih ramai keluarga dapat dibantu.
“Di Pulau Pinang, sebanyak sembilan projek telah dijalankan setakat ini, melibatkan lima projek bina baharu dan empat projek baik pulih dengan nilai keseluruhan RM460,000,” katanya. – MalaysiaGazette















