KUANTAN – Sebanyak 42 premis melibatkan 210 unit simpanan bekalan (SKU) telah diberikan Notis Pengesahan Maklumat Barangan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang, Mohd Hafiz Ramli, satu notis bertulis kepada sebuah premis perniagaan di Temerloh turut telah dikeluarkan kerana didapati berlaku kenaikan harga SKU tidak munasabah.
Kesemua 42 premis yang dikenakan Notis Pengesahan Maklumat Barangan termasuk 12 premis di Kuantan, Temerloh (6), Jerantut (7), Rompin (6, Bera (7) dan Raub (4),” katanya selepas melakukan pemantauan di Pasaraya BS Freshmart, Bukit Goh di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menyiasat lima aduan yang diterima berhubung kenaikan harga atau harga barangan mahal menerusi Op KESAN 4.0 yang bermula 1 Julai lepas.
“Tumpuan penguatkuasaan dan pemantauan adalah kepada barangan keperluan asas yang dikecualikan cukai jualan seperti tepung, sardin, roti, Milo dan susu.
“Kami ingin memberi amaran dan peringatan kepada semua peniaga bahawa kita akan perangi habis-habisan mereka yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan sesuka hati dan mengambil kesempatan ekoran daripada pelarasan semula SST,” katanya lagi.
Mohd Hafiz turut menyeru pengguna agar menyalurkan maklumat dan aduan berkaitan kenaikan harga barangan atau perkhidmatan yang tidak munasabah.
KPDN juga katanya telah menyediakan saluran aduan khusus untuk Op KESAN 4.0 melalui talian 012-6654292. – MalaysiaGazette
















