Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR – Sekurang-kurangnya 50 peratus tahap kesediaan daripada aspek tenaga pekerja, kakitangan dan kelengkapan perubatan perlu dipenuhi untuk Hospital Pasir Gudang (HPG) mula beroperasi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya dan Kerajaan Negeri Johor bersetuju dalam perkara tersebut semasa pertemuannya bersama Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, baru baru ini.

Katanya, pihaknya menjangkakan hospital tersebut dapat beroperasi hujung tahun ini atau pada suku tahun pertama 2026.

“Apa yang mustahak kita bersetuju memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus kesediaan bukan sahaja dari segi bangunan tapi peralatan, tenaga manusia. Mungkin juga jangkaan kita dapat kakitangan paling cepat hujung tahun ini atau sehingga suju pertama tahun depan.

“Apa pun kerajaan negeri (Johor) cuba memberikan bantuan kepada kami (KKM) untuk memastikan bekalan tenaga pekerja akan dapat kita penuhi paking tidaknya 50 peratus untuk beroperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia (MYMT) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Sebelum ini HPG dijangka beroperasi secara berfasa mulai 1 Ogos ini. HPG adalah hospital awam yang ketiga di Johor Bahru, selepas Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

HPG yang berkeluasan 20.6 hektar dan terletak di Bandar Seri Alam itu dilengkapi dengan 304 katil dan 14 perkhidmatan pakar.

Antara fasiliti HPG termasuklah 36 unit blok kuarters kakitangan mengandungi Kelas G; 50 unit blok asrama jururawat selain sebanyak 1,507 lot parkir kereta, 320 lot tempat letak motosikal dan 32 lot tempat letak kereta OKU. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast