Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menerima sebanyak 1,009 aduan berkaitan kenderaan buruk atau terbiar yang ditinggalkan di kawasan awam sekitar ibu negara dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 992 aduan telah berjaya diselesaikan manakala 17 lagi masih dalam siasatan dan proses tindakan lanjut, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa.

Beliau berkata, isu kenderaan terbiar merupakan antara aduan tertinggi yang diterima DBKL kerana bukan sahaja mencacatkan pemandangan bandar malah menimbulkan masalah kebersihan, keselamatan dan keselesaan kepada masyarakat.

“Masalah ini bukan sahaja menjejaskan imej bandar, malah memberi kesan terhadap kebersihan, keselamatan dan keselesaan awam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Dr Zaliha, aduan berkaitan kenderaan terbiar diterima dari semua 11 kawasan Parlimen di Kuala Lumpur dengan Segambut mencatat jumlah tertinggi iaitu 163 aduan diikuti Seputeh (143), Setiawangsa (113) dan Bukit Bintang sebanyak 81 aduan.

Untuk menangani isu tersebut, Jabatan Penguatkuasaan DBKL telah mewujudkan tiga depoh khas untuk menyimpan dan melupuskan kenderaan terbabit di Depoh Taman Connaught, Depoh Pantai Sentral dan Depoh Jalan Emas.

“Setakat ini, sebanyak 1,945 buah kenderaan telah ditempatkan di ketiga-tiga depoh tersebut. Depoh Taman Connaught sahaja menempatkan 1,504 kenderaan dan menjadi pusat utama pengurusan kenderaan buruk DBKL,” katanya.

Beliau berkata, 437 buah kenderaan telah dilupuskan di Depoh Jalan Emas pada 15 Jun lalu, manakala 382 kenderaan dilupuskan dari Depoh Pantai Sentral pada 4 Julai lalu.

Antara cabaran yang dihadapi DBKL ialah proses pewartaan bagi melupuskan kenderaan tidak dituntut yang perlu melalui pengesahan menyeluruh bagi menjaga hak pemilikan.

“Isu ini menjadi semakin mendesak kerana semakin banyak kenderaan ditinggalkan tanpa tuntutan sama ada kerana pemilik telah meninggal dunia tanpa waris, kenderaan tidak dituntut dari bengkel atau ditinggalkan atas alasan nilai sentimental,” katanya.

Bagi mempercepatkan penyelesaian, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memperkenalkan sistem e-Dereg iaitu kaedah membatalkan pendaftaran kenderaan secara dalam talian.

“Melalui e-Dereg, pemilik boleh menghantar kenderaan ke pusat pelupusan berdaftar (AATF) tanpa perlu hadir ke JPJ. Malah kos angkut dan pelupusan ditanggung, dan pemilik turut menerima saguhati berdasarkan keadaan kenderaan, yang juga boleh digunakan untuk membayar saman tertunggak,” jelasnya.

Dr Zaliha turut menyeru agar orang ramai memainkan peranan dalam menangani isu kenderaan terbiar, dengan mengambil inisiatif melupuskan kenderaan secara sah tanpa membebankan ruang awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Berapa banyak yg ditinggalkan di Taman Tasik Titiwangsa..Penguatkuasa taman buat apa????

Comments are closed.