KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun manakala isterinya didenda RM18,000 kerana mendera anak perempuan mereka berusia tujuh tahun menggunakan kulit durian, minggu lalu.
Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman itu terhadap bapa tiri mangsa, Bunyamin Sukiman, 42, manakala Yorlini Abdullah Umar, 32, turut dikenakan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.
Hakim Mohd. Zaki Mohd. Salleh turut memerintahkan mereka dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun tanpa cagaran serta menjalankan khidmat masyarakat selama 12 bulan.
Hukuman terhadap Bunyamin berkuat kuasa bermula dari tarikh tangkap pada 18 Julai lalu.
Yorlini iaitu ibu kandung mangsa dan suaminya mengaku mendera kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian badannya. Kesalahan dilakukan di sebuah unit kediaman di Jalan Ampang, di sini pada pukul 6 petang, 16 Julai lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, kejadian itu disedari selepas mangsa mengaku kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) sekolahnya bahawa dia telah dipukul dan telinganya dipulas oleh ibu bapa selain turut ditumbuk oleh bapa tirinya.
Sebelum itu, kanak-kanak tersebut dipanggil oleh pihak sekolah berhubung aduan kononnya dia telah memotong tudung seorang pelajar lain. Dakwaan itu bagaimanapun disahkan tidak benar.
“Sewaktu siasatan oleh pihak sekolah, mangsa turut mendedahkan tangannya telah diletakkan atas lantai sebelum kulit durian dijatuhkan ke atas tangannya. Anggota yang terluka itu kemudian direndam ke dalam air garam suam.
Tidak cukup dengan itu, tangan mangsa turut diikat menggunakan pita pelekat dan dibiarkan sehingga keesokan harinya,” demikian menurut fakta kes.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur, memohon hukuman berat dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh memandangkan mangsa merupakan kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi.
“Perbuatan mengambil kulit durian dan menghempapnya ke tangan mangsa, kemudian merendam tangan yang luka ke dalam air garam suam adalah tindakan yang ekstrem dan amat zalim.
“Ibu bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak, bukan tempat untuk melepaskan geram. Hukuman berat perlu dikenakan agar menjadi pengajaran kepada masyarakat,” katanya.
Sementara itu, peguam Simret Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu hukuman minimum atas alasan Yorlini tidak bekerja dan hanya bergantung kepada Bunyamin yang bekerja sebagai penasihat jualan kenderaan dan merupakan penyumbang nafkah tunggal keluarga.
Tambah peguam itu, pasangan terbabit mempunyai dua anak termasuk mangsa telah kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis sewaktu ditahan reman.
“Sepanjang reman, kedua-dua tertuduh insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu,” kata Simret. – MalaysiaGazette
















