Syed Hussain Syed Husman

KUALA LUMPUR – Agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sekadar inisiatif nasional tetapi ia adalah gerakan global.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, ini kerana negara di seluruh dunia mengiktiraf pendidikan ini sebagai laluan alternatif yang kredibel ke arah pengetahuan, kemahiran dan kebolehpasaran sepanjang hayat.

“Malaysia kini berada di hadapan dalam arus perubahan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, MEF menyokong pembangunan progresif Sijil Kemahiran Malaysia sehingga ke Tahap 8 yang memberi peluang kepada graduan TVET untuk mencapai kelayakan setara ijazah.

Tambah beliau, perkembangan ini memecahkan persepsi bahawa pendidikan vokasional adalah laluan terminal.

Syed Hussain berkata TVET mampu melahirkan tenaga kerja berkemahiran praktikal, inovatif dan berdaya saing, sesuai dengan keperluan industri semasa.

Katanya, gabungan ilmu akademik dan kemahiran praktikal adalah kunci kepada pembentukan tenaga kerja masa depan.

“Para majikan perlu beri peluang setara kepada graduan TVET bukan sahaja dari segi pengambilan pekerja, tetapi juga pembangunan kerjaya, pemupukan kepimpinan dan pengiktirafan di tempat kerja.

“TVET berupaya mengisi kekurangan tenaga mahir dalam sektor kritikal seperti pembuatan, logistik, teknologi digital, ekonomi hijau dan pertanian pintar. Aspirasi Malaysia ke arah Industri 4.0 memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam automasi, robotik, kecerdasan buatan dan analitik data,” tambahnya.

Menurut beliau, pengembangan program TVET ke kawasan luar bandar dan komuniti B40 juga boleh membuka potensi ekonomi golongan muda, wanita dan kumpulan terpinggir yang bukan sekadar meningkatkan daya saing negara tetapi turut menyokong agenda pertumbuhan inklusif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast