Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berucap pada ASEAN Semiconductor Summit' di Hotel One World Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL 24 JULAI 2025.

PETALING JAYA – Malaysia menyasarkan kadar tarif di bawah 20 peratus bagi eksport ke Amerika Syarikat (AS) menjelang tarikh akhir 1 Ogos ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau menjelaskan, sasaran perlu dibuat dengan serendah mungkin yang menjadi misi utama kerajaan untuk dicapai.

“Hala tuju kita untuk mendapatkan kadar tarif serendah mungkin dan tidak menyasarkan 20 peratus. Sasaran kita adalah lebih rendah daripada itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN 2025 di sini, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hadir pada ASEAN Semiconductor Summit’ di Hotel One World Petaling Jaya. Foto AIZAT ZAINAL 24 JULAI 2025.

Malaysia dan AS kembali melakukan rundingan susulan pengumuman mengenai pengenaan tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan Malaysia awal bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan memberi jaminan akan komited mempertahankan pendirian negara apabila tidak akan berkompromi termasuk mengenai Dasar Bumiputera dalam berdepan rundingan isu tarif dengan AS.

Beliau berkata, garis sempadan  tertentu perlu ketika rundingan dibuat walaupun menghargai kepentingan hubungan dagang dan pelaburan dengan kuasa ekonomi itu.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul turut memberitahu rundingan dengan Amerika Syarikat masih berjalan sehingga tarikh akhir pada 1 Ogos ini.

“Perbincangan sedang berjalan dan setiap hari pun kita masih berunding. Kita masih berada di landasan yang betul untuk memenuhi tarikh akhir itu,” katanya.

Sebelum ini, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan tarif import yang dikenakan ke atas beberapa negara, termasuk dalam kalangan negara ASEAN bermula 1 Ogos ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast