Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia tidak lagi dinamakan sebagai pihak dalam semakan kehakiman Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk mencabar notis taksiran tambahan melebihi RM5 juta yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadapnya.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan Anwar atas kapasiti sebagai Menteri Kewangan dan kerajaan untuk membatalkan nama mereka selaku responden dalam tindakan undang-undang tersebut.

Hakim Datuk Amarjeet Singh bagaimanapun menolak permohonan kedua-dua responden (Anwar dan kerajaan) untuk memadamkan beberapa perenggan dalam afidavit Mukhriz yang menyentuh mengenai kedua-dua responden itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Disember ini untuk mendengar prosiding berkenaan yang hanya melibatkan LHDN sebagai responden tunggal.

Mukhriz, 60, selaku pemohon memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 20 Disember 2024 dengan menamakan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, Anwar dan kerajaan sebagai responden pertama hingga ketiga.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Nur Irmawatie Daud yang mewakili kedua-dua responden berhujah, notis taksiran tambahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri) bukan responden kedua dan ketiga.

Oleh yang demikian, hujah beliau, permohonan semakan kehakiman itu mengaibkan, remeh dan penyalahgunaan proses mahkamah terhadap kedua-dua responden.

Peguam, Syed Afiq Syed Albakri yang mewakili Mukhriz pula berhujah responden kedua didakwa mempengaruhi responden pertama untuk membuat keputusan dengan mengeluarkan notis taksiran tambahan terhadap anak guamnya.

Pada 2 Januari lalu, Mukhriz mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mendapat perisytiharan bahawa notis taksirtan tambahan berkenaan adalah terbatal, ultra vires dan menyalahi undang-undang.

Notis berkenaan masing-masing bagi tahun 2017 berjumlah RM2,558,875.90; bagi tahun 2018 berjumlah RM2,445,004.91; dan tahun 2019 berjumlah RM16,826.37.

Dalam permohonan semakan kehakiman, Mukhriz yang juga ahli perniagaan memohon perintah membatalkan keputusan responden pertama mengeluarkan notis taksiran tambahan berkenaan berjumlah RM5,020,707.18.

Beliau juga memohon perisytiharan bahawa keputusan responden pertama mengenakan penalti terhadapnya di bawah Seksyen 113 (2) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 adalah terbatal dan ultra vires.

Bekas Menteri Besar Kedah itu juga memohon perisytiharan, responden kedua (Anwar) menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan LHDN mengeluarkan notis taksiran tambahan dan menggunakan kuasa secara salah dengan menyebabkan ia mengeluarkan sijil di bawah Subseksyen 104(1) Akta Cukai Pendapatan 1967. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast