Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor sekali lagi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM718,710.

Nas Suffian Nasrun, 41, didakwa terlibat secara langsung dalam transaksi wang berjumlah RM718,710 daripada akaun bank seorang lelaki ke akaun bank sebuah syarikat melalui 64 transaksi atas talian antara 26 Julai 2022 dan 9 Jun 2023 di sebuah cawangan bank di Pandan Indah di sini.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di Bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah wang haram atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa ia dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Aznika Mohd Anas mencadangkan jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin.

“Tertuduh sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan mahkamah terbabit telah mengenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran. Oleh itu,  saya mohon mahkamah ini mengguna pakai syarat tambahan tersebut,” katanya.

Selain itu, Aznika memohon kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk dibicarakan bersama lima pertuduhan lain.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Zaim Rosli mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 kerana anak guamnya yang telah berkhidmat sebagai penjawat awam selama 19 tahun mempunyai rekod kerja yang baik, tidak mempunyai masalah disiplin dan tidak pernah dikenakan tindakan tatatertib.

“Tertuduh mempunyai potensi untuk dikenakan tindakan tahan kerja susulan pendakwaan terhadapnya. Selain itu, tertuduh yang berpendapatan RM5,000 sebulan perlu menanggung isteri serta lima anak berumur tujuh hingga 15 tahun,” kata peguam itu.

Hakim Rosli Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan mengguna pakai syarat tambahan yang dikenakan Mahkamah Sesyen Shah Alam selain membenarkan kes itu dipindahkan ke mahkamah terbabit. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast