Mohd Alwi (tengah) bercakap pada sidang media di IPK hari ini.

GEORGE TOWN – Polis masih menjalankan siasatan berhubung seorang doktor kerajaan yang dikaitkan dengan empat kes mencabul pesakit wanita selepas menerima arahan lanjut daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, tiga daripada kes terbabit berlaku di daerah Timur Laut manakala satu lagi kejadian terbaru dilaporkan di daerah Barat Daya.

“Untuk tiga kes di Timur Laut, kertas siasatan telah diserahkan sebelum ini dan kita baru menerima arahan untuk siasatan lanjut daripada pihak TPR.

“Manakala siasatan bagi kes di Barat Daya pula telah pun dimulakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini hari ini.

Difahamkan, doktor berusia 43 tahun yang sebelum ini bertugas di sebuah hospital kerajaan di daerah Timur Laut ditukarkan ke sebuah klinik kesihatan di Barat Daya.

Namun kejadian terbaru dikatakan berlaku ketika beliau bekerja sebagai doktor sambilan di sebuah klinik swasta di kawasan sama.

Media sebelum ini melaporkan doktor berkenaan ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya pukul 8 malam pada Isnin lalu.

Penahanan dibuat susulan laporan seorang wanita yang mendakwa telah dicabul ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Bayan Baru pada 29 Jun lalu.

Kejadian dikatakan berlaku sekitar pukul 11.46 pagi ketika mangsa hadir ke klinik tersebut kerana mengalami sakit perut.

Mangsa mendakwa ketika berada di bilik pemeriksaan, doktor terbabit mengarahkannya menanggalkan baju sebelum bertindak menyentuh kedua-dua payudaranya.

Mangsa yang tidak berpuas hati dengan perlakuan berkenaan kemudian tampil membuat laporan polis pada Jumaat lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast