Dr. Zulkifli Hasan.

KUALA LUMPUR – Program Jerayawara Kesedaran Isu Sosial (J-KIS) Peringkat Kebangsaan pada 30 Julai ini susulan maklum balas positif peserta terhadap pelaksanaan awal program tersebut yang menyentuh isu-isu sosial kritikal dalam kalangan remaja dan belia.

Majlis pelancaran dijadualkan berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Nai’m Mokhtar.

Seramai 800 peserta dari pelbagai institusi pengajian tinggi dan sekolah dijangka hadir bagi menyertai sesi kesedaran yang lebih menyeluruh dan berskala nasional.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, maklum balas peserta menunjukkan mereka memperoleh banyak ilmu dan kefahaman tentang realiti isu ini yang sebelum ini mungkin tidak dibincangkan secara terbuka.

“Program ini memberi ruang selamat untuk berdialog, berfikir dan membina daya tahan diri menghadapi cabaran tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Zulkifli, pelaksanaan J-KIS yang bermula sejak 2024 telah berjaya mencapai lebih 700 peserta, dan pelancaran di peringkat kebangsaan menjadi bukti komitmen kerajaan untuk memperluaskan capaian program secara sistematik dan inklusif.

Program itu turut dirangka sebagai platform advokasi yang berkolaborasi dengan institusi pendidikan, agensi agama dan NGO agar mesej kesedaran sampai kepada lebih ramai golongan sasar secara berterusan.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut merancang penghasilan bahan media seperti video pendek untuk digunakan sebagai alat kempen digital agar penyampaian mesej lebih meluas dan sesuai dengan cara hidup digital anak muda,” tambahnya.

Beliau menambah, pendekatan advokasi melalui J-KIS selaras dengan agenda Malaysia MADANI yang menekankan nilai integriti, pembangunan insan dan kesejahteraan sosial.

“Kerajaan yakin dengan pengukuhan kesedaran dan pemahaman dalam kalangan belia, mereka bukan sahaja akan lebih berdaya tahan menghadapi pengaruh luar, tetapi juga mampu menjadi ejen perubahan positif dalam komuniti masing-masing,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast