Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

KUALA LUMPUR – Usahawan masyarakat India di Parlimen Sungai Siput telah menerima pembiayaan berjumlah lebih RM1.1 juta di bawah dua skim khas kerajaan sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Pembiayaan itu disalurkan menerusi dua inisiatif utama, Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) yang masing-masing dikendalikan oleh TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, sebanyak RM272,000 telah disalurkan kepada 18 usahawan menerusi SPUMI.

Manakala seramai 100 usahawan wanita lagi telah menerima pembiayaan RM836,200 di bawah program PENN di Parlimen Sungai Siput sahaja.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 24 JULAI 2025.

“Ini bukti bahawa kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat India khususnya di kawasan luar bandar seperti Sungai Siput.

“Kita mahu pastikan mereka mendapat akses saksama kepada peluang ekonomi melalui sokongan pembiayaan yang bersesuaian,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat hari ini.

Secara keseluruhan, RM200 juta diperuntukkan tahun ini bagi memperkasa pembangunan sosioekonomi masyarakat India, dengan RM100 juta bagi SPUMI dan SPUMI Goes Big serta RM100 juta lagi di bawah PENN.

Menurut Ramanan, bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, seramai 1,064 usahawan telah menerima pembiayaan SPUMI berjumlah RM29.13 juta manakala seramai 2,422 usahawan wanita menerima RM17.88 juta menerusi PENN di seluruh negara.

“Kita tidak hanya menyalurkan dana, tetapi juga membimbing para usahawan ini supaya berdaya saing, mampan dan mampu berdiri atas kaki sendiri,” tambah beliau.

Jelasnya lagi, inisiatif ini selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk mewujudkan masyarakat inklusif, progresif dan sejahtera melalui pemerkasaan ekonomi akar umbi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast