Nancy Shukri.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 354 kes penderaan kanak-kanak yang membawa kepada kematian direkodkan dalam tempoh lima tahun bermula 2020 hingga 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan sebanyak 44 kes direkodkan pada 2020, diikuti 24 kes (2021), 74 kes (2022), 98 kes (2023) dan meningkat kepada 114 kes pada tahun 2024.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius setiap insiden melibatkan kematian kanak-kanak, khususnya yang berpunca daripada kecuaian dan penderaan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Yeo Bee Yin (PH–Puchong) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah kes kematian kanak-kanak akibat penderaan dan kecuaian serta jumlah yang telah didakwa dan disabitkan sepanjang lima tahun lalu.

Menurutnya, kementerian juga telah menjalankan langkah proaktif untuk mengurangkan risiko penderaan ialah dengan pelaksanaan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak yang dilancarkan sejak tahun 2023.

“Antara pengisian program termasuk ceramah interaktif berkaitan hak dan keselamatan kanak-kanak, buli siber dan gangguan seksual.

“Pada tahun lalu sahaja, 337 sekolah terlibat dengan capaian kepada lebih 128,000 kanak-kanak,” tambahnya.

Program tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai sebahagian daripada usaha membentuk jaringan perlindungan menyeluruh untuk kanak-kanak.

“Bagi tahun 2025, KPWKM menyasarkan pelaksanaan program ini di 300 buah sekolah dan 30 pusat aktiviti kanak-kanak terpilih di seluruh negara,” katanya.

Selain itu, Nancy berkata, langkah pencegahan turut diambil menerusi penambahbaikan peraturan dan garis panduan operasi di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) bagi memastikan kesejahteraan serta keselamatan anak-anak kecil terjamin.

“JKM juga menekankan kepentingan saluran aduan seperti Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam dan disambungkan terus kepada pihak JKM serta PDRM untuk tindakan segera,” katanya.

“Pendekatan intervensi awal dan penglibatan pelbagai pihak seperti sekolah, komuniti dan institusi kesihatan sangat penting untuk membendung kes penderaan dan pengabaian yang boleh meragut nyawa.

“Kita harap masyarakat lebih cakna terhadap keadaan sekeliling dan segera melaporkan sebarang bentuk penganiayaan terhadap kanak-kanak supaya tindakan awal dapat diambil,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast