Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) 2025 dalam satu majlis di Kompleks Seri Perdana di sini hari ini.

Program Sejahtera MADANI merupakan inisiatif nasional yang diselaras oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), khusus untuk membantu golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam Sistem eKasih.

Melalui pendekatan whole of nation, program berkenaan menghimpunkan pelbagai bentuk intervensi melibatkan kementerian, agensi dan sektor swasta bagi menangani kemiskinan secara berfokus dan bersepadu.

Empat fokus utama diberi penekanan dalam pelaksanaan program ini iaitu peningkatan pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan dengan matlamat memberi kesan lebih berimpak dan mampan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) serta Ahli Isi Rumah (AIR) eKasih.

Dalam ucapannya, Anwar berkata, kerajaan menyasarkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebanyak RM100 juta untuk Sejahtera MADANI yang akan disalurkan terus ke Tabung Kesejahteraan Rakyat di bawah seliaan ICU JPM. Kesemua sumbangan layak mendapat potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Sehingga 15 Julai 2025, sejumlah 306,403 Ketua Isi Rumah telah direkodkan dalam Sistem eKasih di seluruh negara, termasuk 1,017 KIR Miskin Tegar dan 305,386 KIR Miskin.

Kerajaan turut menyasarkan pengurangan kadar kemiskinan sebanyak 33 peratus tahun ini.

Majlis tersebut turut memberi penghormatan kepada 16 KIR eKasih terpilih dari seluruh negara yang dibawa khas untuk menerima bantuan secara langsung daripada kerajaan.

Bantuan diberikan berdasarkan keperluan individu bagi membantu mereka meningkatkan pendapatan dan taraf hidup keluarga.

Turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri dan barisan Menteri Kabinet. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast