BANGKOK – Thailand melancarkan serangan udara ke atas tentera Kemboja hari ini manakala Kemboja pula menggunakan roket dan artileri, membunuh seorang orang awam dalam ketegangan di sempadan kedua-dua buah negara.
Thailand dan Kemboja terjebak dlaam pertikaian kawasan dikenali Segitiga Emerald di sempadan kedua-dua negara dan Laos yang menempatkan sebuah kuil.
Pertikaian tersebut berlanjutan sejak 15 tahun lalu, mengakibatkan pertempuran tentera yang meragut nyawa dan pada Mei lalu seorang tentera Kemboja terbunuh dalam pertempuran.
Konflik tercetus hari ini apabila Kemboja melancarkan roket dan artileri ke atas Thailand yang menyebabkan tentera negara jiran itu mengerah sebuah pesawat pejuang, F-16 melakukan serangan udara.
Enam jet pejuang dikerahkan dari wilayah Ubon Ratchathani menyerang dua sasaran tentera Kemboja di darat, menurut jurucakap tentera Thailand, Ritcha Suksuwanon.
Pejabat Perdana Menteri berkata, satu artileri Kemboja menghentam sebuah rumah di sempadan, menyebabkan seorang terbunuh dan tiga lagi cedera termasuk kanak-kanak berusia lima tahun.
Kedua-dua pihak menyalahkan sesama sendiri memulakan serangan yang tercetus berhampiran dua buah kuil di sempadan antara wilayah Surin, Thailand dan Oddar Meanchey, Kemboja.
“Tentera Thai mencabul integriti wilayah Kemboja dengan melancar serangan bersenjata ke atas stesen tentera Kemboja untuk mempertahankan kedaulatan negara,”.
“Sebagai tindak balas, tentera Kemboja melaksanakan hak mempertahankan diri menurut undang-undang antarabangsa bagi mematahkan serangan Thailand dan melindungi kedaulatan dan integriti wilayah Kemboja,” menurut jurucakap Kementerian pertahanan Kemboja, Maly Socheata menerusi satu kenyataan.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet memohon mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu diadakan bagi membincangkan insiden itu dan Kementerian Luar menyifatkannya sebagai ‘pencerobohan ketenteraan tanpa provokasi’.
Sementara itu, Jurucakap kerajaan Thailand menuduh Kemboja ‘tidak berperikemanusiaan, ganas dan laparkan peperangan’ dan Kementerian Luar berkata, semua lintasan di sempadan telah ditutup dan penduduk berhampiran dipindahkan.
Tentera Thailand menyalahkan tentera Kemboja yang menembak terlebih dahulu dan kemudian mendakwa mereka ‘menyasarkan serangan ke atas orang awam’ dan berkata, dua roket BM-21 menghentam komuniti di Kap Choeng, Surin mengakibatkan tiga orang cedera.
Menurut tentera Thailand, pertempuran bermula pada jam 7.35 pagi apabila sebuah unit yang mengawal kuil Ta Muen terdengar bunyi dron Kemboja.
Selepas itu, enam tentera Kemboja, termasuk seorang membawa bom tangan yang dajana roket, menghampiri pagar duri di hadapan pos kawalan Thailand, menurut tentera.
Tentera Thailand berteriak sebagai amaran kepada mereka, kata tentera Thailand, namun kira-kira jam 8.20 pagi, tentera Kemboja melepaskan tembakan ke arah kuil yang terletak di timur, kira-kira 200 meter dari pengkalan Thailand.
Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai berkata, situasi itu perlu ditangani dengan teliti da mengikut undang-undang antarabangsa.
“Kami akan melakukan yang terbaik untuk melindungi kedaulatan kami,” katanya.
Kedutaan Thailand di Phnom Penh menggesa warganya untuk meninggalkan Kemboja segera kecuali jika mereka mempunyai alasan untuk kekal di neara itu, menurut satu hantaran di laman Facebook. – AFP
















