PETALING JAYA – Malaysia sedia menjadi orang tengah yang mendamaikan ketegangan Thailand dan Kemboja ketika ini bagi membolehkan rundingan dimulakan demi keamanan di rantau ASEAN.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesej itu telah disampaikan kepada pemimpin kedua negara itu dan berharap dapat berbincang secara langsung dalam masa terdekat.
Beliau turut menyifatkan Thailand dan Kemboja sebagai anggota ASEAN yang penting dan amat akrab dengan Malaysia.
“Kita telah menghantar mesej kepada kedua-dua pemimpin dan saya berharap malam ini dapat bercakap dengan mereka.
“Kita berharap sekurang-kurangnya kedua-dua pihak dapat menghentikan serangan dan mudah-mudahan mereka bersedia untuk memulakan rundingan damai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Semikonduktor ASEAN (ASEMIS) di sini.

Beliau diminta mengulas ketegangan antara dua negara itu bermula sejak awal pagi tadi yang dilaporkan saling menyerang ekoran pertikaian berhubung isu persempadanan.
Serangan tercetus selepas Thailand dan Kemboja saling menuduh antara satu sama lain berhubung pihak yang mula melancarkan serangan.
Thailand turut mendakwa bahawa Kemboja mengerah dron sebelum menggerakkan pasukan tentera yang lengkap bersenjata ke kawasan terlibat.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja pula menafikan dakwaan itu dan menyatakan pertikaian berpunca daripada pencerobohan tanpa provokasi oleh tentera Thai, sekali gus memaksa pasukan mereka bertindak mempertahankan diri. – MalaysiaGazette

















