Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir ke Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NATIONAL SCAM RESPONSE CENTRE - NSRC) di Pusat Respons penipuan Kebangsaan, Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Setakat ini tiada bukti sahih mengesahkan Low Taek Jho atau Jho Low berada dan  menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai, China dengan menggunakan pasport Australia palsu.

Demikian kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sehubungan itu, katanya, dakwaan menerusi dua wartawan penyiasatan Bradley Hope dan Tom Wright hanya boleh dianggap sebagai laporan berita mereka sahaja.

“Setakat ini, saya katakan bahawa dakwaan mengenai lokasi dan penggunaan pasport individu yang disebut itu, setakat ini belum ditemui fakta sokongan atau mana-mana bukti yang sah dan sahih.

“Kalau jumpa kita beritahulah, kalau tidak kita kena (beritahu) tidaklah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Kerja Menteri Dalam Negeri ke Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Sasana Kijang hari ini.

Jelas Saifuddin, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui polis sentiasa menjalin kerjasama erat dan berterusan dengan pihak berkuasa serta agensi penguatkuasa undang-undang antarabangsa.

“Kerjasama erat kita dengan agensi luar negara sentiasa berjalan,” tambahnya.

Terdahulu, pendedahan dua wartawan antarabangsa menerusi yang dikemukakan dalam siaran langsung Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright mendakwa menyatakan bahawa Jho Low menggunakan pasport Australia palsu dan memandu kenderaan mewah di negara berkenaan.

Lebih mengejutkan, pendedahan tersebut turut mendakwa individu utama dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu kini berperanan sebagai penasihat strategik kepada kerajaan China.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata akan menyemak dakwaan tersebut dengan KDN.

Untuk rekod, pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah melibatkan dana SRC International, anak syarikat 1MDB.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast