GEORGE TOWN – Tiga restoran dan sebuah kedai runcit di sekitar Daerah Timur Laut diarah tutup selama 14 hari selepas didapati gagal mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan termasuk penemuan urungan serta najis tikus
Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dalam satu kenyataan memaklumkan, tindakan penutupan ini berkuat kuasa sejak kelmarin hingga 4 Ogos mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil 38(1), Undang-Undang Kecil (Establisymen Makanan) MPPP 1991.
“Kita telah lakukan pemeriksaan mengejut terhadap lima premis perniagaan makanan di kawasan tersebut. Hasil pemeriksaan mendapati empat premis tidak mematuhi tahap kebersihan yang ditetapkan, antaranya penemuan najis tikus di dapur dan rak jualan.

“Manakala satu lagi premis dikenakan kompaun di bawah Seksyen 47(1) Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 kerana tidak menyelenggara perangkap minyak (grease trap) serta membuang sisa makanan ke dalam parit awam,” katanya hari ini.
Tambah kenyataan itu, pemeriksaan turut melibatkan aspek lesen perniagaan, kebersihan stor dan dapur, selain memeriksa status suntikan vaksin tifoid dan penggajian pekerja sama ada warga tempatan atau asing.
“Operasi itu bertujuan memastikan keselamatan makanan sentiasa berada pada tahap memuaskan dan menasihatkan semua pengusaha supaya mengutamakan kebersihan di premis masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette















